Demi pendidikan untuk semua, jangan laksanakan semula PPSMI


SAYA mengambil maklum akan hasrat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenalkan semula pengajaran subjek Sains dan Matematik dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris.

Dari dahulu, PKR kekal dengan prinsip untuk tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Saya berpendapat, yang perlu diutamakan dalam memastikan anak-anak menguasai subjek Sains dan Matematik bukanlah melalui Bahasa Inggeris, tetapi yang lebih penting adalah keberkesanan akan kaedah dan inovasi pembelajaran dalam kedua-dua subjek tersebut.

Malah, peratusan calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 yang mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran Matematik adalah 81.15%, manakala bagi mata pelajaran Sains adalah 96.12%.

Ini jelas membuktikan bahawa keberhasilan dalam penguasaan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda adalah lebih baik dan memudahkan para pelajar khususnya di kawasan pedalaman untuk mempelajari kedua-dua subjek ini.

Mengikut resolusi pendidikan yang diluluskan oleh Unesco (1951:691) turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Korea, Jepun, Finland dan negara lain yang maju dalam ilmu dan pendidikan.

Kesemua negara ini bersungguh-sungguh untuk mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi ini tidak menghalang pembangunan negara tersebut.

Saya berharap agar perdana menteri yang ketika ini memangku jawatan menteri pendidikan untuk tidak melaksanakan semula dasar ini melihatkan kepada sistem pendidikan yang telah ditetapkan ketika ini menuju ke landasan yang baik dan tepat dalam membentuk anak bangsa yang suka dan cinta untuk belajar dan memperoleh ilmu pengetahuan.

Pelaksanaan semula dasar ini akan mencetuskan tekanan dan jurang pendidikan kepada anak-anak di luar bandar yang sekaligus akan menjadikan hasrat dan cita-cita “Pendidikan Untuk Semua” tidak akan terlaksana, malah hanya akan berkesan untuk sesetengah lapisan masyarakat sahaja. – 1 Februari, 2020.

* Dr Afif Bahardin adalah Adun Seberang Jaya merangkap timbalan ketua Cabang PKR Permatang Pauh.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen