Isu perkauman meruncing kerana agenda pemimpin politik, kata Anwar 


Zaim Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata terdapat segelintir ahli politik yang mengeksploitasi isu perkauman kerana telah hilang sokongan akar umbi.– Gambar The Malaysian Insight, 31 Januari, 2020.

ISU perkauman dalam negara semakin kritikal disebabkan agenda pemimpin politik tertentu yang terdesak mahu mendapatkan sokongan rakyat, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata, mereka sengaja menggunakan isu perkauman bagi mengekalkan kuasa politik mereka.

Tambahnya, fenomena itu menyebabkan nasib rakyat bawahan tidak terbela sedangkan pemimpin seperti itu kaya raya.

“Suhu politik kini panas kerana berbeza pendapat dalam isu kaum yang sebenarnya tidak harus berlaku setelah 60 tahun merdeka.

“Apabila ahli politik sudah terdesak, sudah hilang sokongan akar umbi, dia guna isu kaum.

“Saya nak beritahu rakyat, jika kita terpengaruh dengan cara ini nasib kita tidak pernah terbela, orang yang jadi jaguh kaum hebat-hebat ini tidak peduli nasib orang miskin, yang kurang daripada segi perumahan, kurang makan, mereka ini hanya cari makan sendiri dan kuasa,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina di George Town, malam ini. 

Menurutnya, isu perkauman dalam politik juga pernah ditolak oleh perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.

“Politik berdasarkan kaum telah lama ditolak. Saya ingat lagi zaman Tun Razak lagi pun beliau penah sebut masa itu masalah dan ancaman 3C, communism (ancaman komunis), communalism (perkauman), corruption (rasuah).

“Sekarang kita ada pengalaman berlaku perubahan kerajaan, masih nak bawa isu perkauman,” jelasnya. – 31 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen