Keputusan sekat warga China perlu asas yang kukuh, kata duta 


Chan Kok Leong

Duta China di Malaysia Bai Tian ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 31 Januari, 2020.

SEBARANG keputusan untuk menyekat pelancong dari China mestilah dibuat berlandaskan asas yang kukuh, kata duta China di Malaysia Bai Tian hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Sabah menggantung semua penerbangan dari China susulan penularan wabak 2019 novel coronavirus (nCoV).

“Saya kecewa dengan keputusan Kerajaan Sabah. Saya rasa keputusan ini perlu difikirkan semula kerana sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana kerajaan atau organisasi harus berlandaskan asas yang kukuh.

“Saya harap situasi sukar seperti ini tidak menjejaskan kegiatan manusia atau aktiviti perdagangan serta komersial antara China dan Malaysia, termasuk Sabah.”

Bai Tian berkata demikian pada satu majlis di Putrajaya bagi menerima derma sarung tangan perubatan daripada syarikat kepada pusta kesihatan di Wuhan, wilayah Hubei yang merupakan pusat penularan wabak itu.

Menurutnya, kerajaan China bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta sentiasa terbuka dan telus dalam menangani nCoV.

“China telah berkongsi urutan genetik nCoV dengan WHO dalam rekod masa yang singkat dan telah mengumpulkan sekumpulan penyelidik terkemuka dari seluruh China untuk pembangunan vaksin.

“Semua langkah ini menunjukkan keazaman China yang kuat untuk menghentikan wabak bagi melindungi keselamatan kesihatan tempatan dan global,” kata Bai Tian.

Malaysia belum memutuskan untuk menyekat penerbangan dari China ke negara ini. Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata implikasi langkah sedemikian perlu dikaji.

Sementara itu, Bai Tian turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana membantu menangani masalah kekurangan bekalan perubatan di negaranya. – 31 Januari, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen