Banjir di Pulau Pinang jalinkan perbezaan politik


Looi Sue-Chern

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini, cadangan kerja-kerja bantuan dan keadaan di pusat-pusat pemindahan ditingkatkan juga diberi supaya mangsa-mangsa banjir berasa lebih selesa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 November, 2017.

SATU usul tergempar mengenai banjir kilat yang melanda Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri hari ini telah diluluskan dengan sokongan sebulat suara sebaik sahaja exco negeri Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota) membacakan usul itu.

Chow turut melahirkan ucapan takziah DUN kepada mangsa banjir yang meninggal dunia dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta individu-individu yang terlibat dalam usaha bantuan banjir semalam.

“Kami menggesa semua kerajaan persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan untuk mengkaji dan memperbaiki prosedur operasi standard dalam menyalurkan maklumat.

“Begitu usaha bantuan dan menyelamat dilakukan dengan lebih cekap supaya dapat mengurangkan kesan bencana.

“Kita semua mesti bekerjasama untuk melaksanakan projek tebatan banjir yang lebih baik, dan meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya memelihara alam sekitar dan keupayaan menghadapi banjir,” katanya pada persidangan pagi ini.

Ketika perbahasan, Dr Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata beliau menyokong  usul Chow itu.

Beliau mencadangkan kerja-kerja bantuan dan keadaan di pusat-pusat pemindahan ditingkatkan supaya mangsa-mangsa banjir berasa lebih selesa.

“Ada yang terpaksa tidur beralaskan kain, tiada bantal. Ramai orang derma makanan tetapi tak sampai ikut jadual.

“Kita juga perlukan bekalan perubatan untuk mereka yang batuk dan lain-lain,” katanya.

Mahmud Zakaria (BN-Sungai Acheh) menggesa kerajaan negeri memantau dan mengambil tindakan terhadap pembangunan haram yang boleh menjadi punca banjir kilat.

Shah Headan Ayoob Hussain (BN-Teluk Bahang) juga menyokong usul itu, dan menyeru kerajaan negeri memberi peruntukan mencukupi bagi menaik taraf sistem saliran.

Soon Lip Chee (DAP-Jawi) menekankan keperluan jabatan metereologi menghantar segera  maklumat cuaca terkini kepada rakyat.

“Selalunya kita dapat tahu mengenai cuaca buruk selepas ia berlaku. Paling baik, kita dapat tahu 30 minit atau sejam sebelum ia berlaku. Jabatan ini perlu dikukuhkan lagi.

“Kita juga perlu sebuah jabatan khas untuk mengkoordinasi bantuan bencana. Kerajaan negeri dan persekutuan perlu bekerjasama,” katanya dan menambah Putrajaya harus menghantar dana.”

Wong Hon WAi (DAP-Air Hitam) juga bersetuju operasi bantuan bencana, pengurusan maklumat dan sistem saliran mesti diperbaiki.

Katanya, walaupun media sosial digunakan bagi menyebarkan maklumat mengenai penutupan jalan raya, kawasan banjir dan maklumat lain, masuh ramai yang tidak mendapat maklumat terkini.

Sementara itu, R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) memuji menteri-menteri BN iaitu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim yang membantu Pulau Pinang.

Rayer berkata bencana itu telah menyatukan kedua-dua pihak yang berbeza fahaman politik dalam usaha membantu mangsa banjir. 

“Kita mungkin berlawan tentang dasar dan politik, tetapi ada ketika bencana menjadi rahmat,” katanya  sambil mngucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor atas sumbangan RM1 juta. – 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen