Pendaftaran pelajar dari Hubei tangguh


Chan Kok Leong

Penangguhan dibuat sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2020.

MALAYSIA akan menangguhkan semua pendaftaran baharu bagi pelajar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei berkuatkuasa serta-merta, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Penangguhan ini melibatkan semua institusi pengajian tinggi, dan dibuat sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Pelajar dari negeri lain di China akan dibenar mendaftar pengajian di Malaysia tetapi akan melalui pemantauan institusi pendidikan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat harian mengenai novel koronavirus (2019-nCoV) di Putrajaya hari ini.

Selain itu, semua pengajar, kakitangan pentadbiran dan pelajar yang baru pulang dari Wuhan dan Hubei akan dikuarantin selama 14 hari.

“Semua akan dikuarantin, tidak kira rakyat Malaysia atau tidak. Mereka akan dipantau selama 14 hari.”

Dzulkefly juga berkata Malaysia masih belum menerima permohonan dari China untuk bawa pulang rakyatnya.

“Kita belum terima permohonan, tetapi kita akan semak dengan Kementerian Luar mengenai perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beijing dilaporkan akan menghantar pesawat untuk membawa pulang penduduk Hubei yang berada di luar China.

Selain itu, pada taklimat itu Dzulkefly berkata tiada cadangan untuk melarang sambutan perayaan Thaipusam yang jatuh pada 8 Februari ini. – 31 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen