Najib tidak boleh dibenarkan periksa barang sita, kata pendakwa


Bede Hong

Pihak polis membawa kotak berisi barangan yang disita dari premis di Pavilion Residences pada 18 Mei tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2020/

PIHAK pendakwaraya berhujah hari ini bahawa membenarkan Najib Razak dan keluarganya memeriksa barang yang disita oleh pihak berkuasa dua tahun lalu akan membuka “pintu” duluan (precedence) bagi kes pengubahan wang haram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar usul oleh Najib dan keluarganya untuk memeriksa barang yang disita susulan kaitannya dengan 1Malaysia Development Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof memberitahu mahkamah, bekas perdana menteri itu tidak boleh dibenarkan memeriksa sendiri ratusan barang yang disimpan di Bank Negara kerana tiada undang-undang tertentu yang membenarkannya.

“Kami tidak mahu ia menjadi pintu kepada kes AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001) yang lain,” katanya kepada sidang itu didepan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

“Ini akan menjadi kes ujian dan kami tidak mahu ia menjadi duluan kerana tidak pernah ada keadaan yang membenarkan pemeriksaan secara fizikal oleh defendan.”

Najib, isterinya, Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa ingin mendapatkan kebenaran memeriksa barangan yang dirampas daripada beberapa hartanah pada Mei 2018, beberapa minggu selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum.

Antara barang yang disenaraikan dalam usul notis ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai matawang, termasuk RM537,000, £2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama RM187, 750 dan £320,500. Keluarga mendakwa ia adalah hadiah dan bukannya hasil kegiatan haram.

Pendakwa yang cuba mendapatkan pelucutan hak kira-kira RM1 bilion aset dari premis yang dikaitkan dengan Najib berkata, keluarga itu boleh mengenal pasti barangan daripada gambar atau video.

“Kami akan membekalkan gambar itu. Kami akan membuat video bagi setiap bahan keterangan untuk membantu proses mengenal pasti,” kata Fatnin.

Kesemua barangan itu disimpan dalam peti besi, menjadikan pemeriksaan di tempat berkenaan “mustahil”, katanya sambil menambah pemindahan untuk diperiksa di tempat lain boleh merosakkan beberapa barang yang memerlukan “pengendalian teliti.”

“Kami bimbang akan ada kemerosotan nilai barangan jika berlaku pemindahan barangan untuk melakukan pemeriksaan itu,” katanya, sambil menambah terdapat juga “masalah keselamatan dan logistik” ketika proses dilakukan. – 31 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen