Tiada sekatan terhadap import dari China


Ragananthini Vethasalam

Malaysia tiada cadangan untuk menyekat import dari China yang merupakan rakan dagang terbesar negara. – Gambar AFP, 31 Januari, 2020.

IMPORT dari China tetap tidak berubah ketika penularan koronavirus baharu yang membawa maut, kata Ong Kian Ming.

Timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri memberitahu The Malaysian Insight tiada cadangan untuk menyekat import dari China.

“Tiada cadangan untuk menyekat import dari China, memandangkan tidak ada petunjuk bahawa virus itu dapat ditularkan melalui barangan fizikal.”

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, perdagangan dengan kuasa ekonomi itu pada 11 bulan pertama 2019 berjumlah RM285.57 bilion, mencatatkan hanya 0.7% dari tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Import dari China, sementara itu, mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.2% kepada RM159.63 bilion dalam tempoh yang sama.

Kementerian dijangka mengumumkan prestasi perdagangan tahun penuh Malaysia bagi 2019 pada 4 Februari.

Pada 2018, perdagangan negara dengan China berjumlah RM313.8 bilion, yang membentuk 16.7% daripada jumlah perdagangan.

China juga merupakan sumber import terbesar Malaysia, menyumbang 19.9% ​​daripada jumlah volum import pada 2018.

Malaysia menggantung sementara pengeluaran visa perjalanan kepada pelawat dari Wuhan di wilayah Hubei, pusat wabak virus.

Penyakit ini membunuh sekurang-kurangnya 170 orang di China dan menjangkiti lebih 7,000 pesakit di seluruh dunia. Malaysia adalah antara negara yang mengesahkan kes jangkitan dengan lapan kes setakat semalam.

Putrajaya mengumumkan Malaysia tidak akan menghentikan pengimportan makanan dari China walaupun dengan kebimbangan terhadap isu kesihatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub baru-baru ini mengatakan virus itu ditularkan dari manusia ke manusia, dan tidak melibatkan barangan makanan.

“Kami sudah mengarahkan unit kastam sempadan melakukan pemeriksaan rambang terhadap barangan seperti daging dan buah-buahan yang masuk, walaupun tiada bukti barangan ini menjadi sumber penularan.

“Ia hanya langkah pencegahan.”

Malaysia tidak mengimport produk makanan dari Wuhan, di mana virus itu mula dikesan lewat bulan lepas.

Sejak itu, virus berkenaan tersebar di lebih 15 negara, dengan kira-kira 60 kes di Asia, Eropah, Amerika Utara, dan yang paling baru-baru ini, Timur Tengah. Tiada kematian di luar China.

Koronavirus dipercayai berasal daripada haiwan liar seperti kelawar, tetapi kini merebak di kalangan manusia. Penularan sedemikian direkodkan di China, Vietnam, Jerman dan Jepun. – 31 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen