PENGELUAR sarung tangan, termasuk pengilang terbesar di dunia, Top Glove Corp Bhd, menyaksikan permintaan mendadak sejak beberapa hari lalu berikutan penularan wabak novel koronavirus.
Wabak itu setakat ini meragut lebih 170 nyawa - kesemuanya di China, dengan lebih 1,700 kes baharu disahkan. Di Malaysia, lapan kes disahkan positif dan semuanya melibatkan pelancong dari China.
Pengerusi Eksekutif Top Glove Corp Lim Wee Chai memberitahu The Malaysian Insight, permintaan sarung tangan yang merupakan antara barangan penting dalam industri penjagaan kesihatan, menyaksikan peningkatan di beberapa negara susulan wabak koronavirus.
“Kita melihat permintaan meningkat dari China, Hong Kong dan Taiwan. Malah, sejak beberapa hari lalu, kita menerima tempahan lebih dua kali ganda daripada jualan bulanan biasa ke China,” kata Lim.
Syarikat itu yang menguasai 25% pasaran sarung tangan turut mendermakan sarung tangan nitrile dan getah kepada hospital di Wuhan, wilayah Hubei yang merupakan pusat penularan wabak itu.
Lim berkata selain China, terdapat juga peningkatan tempahan daripada Hong Kong dan Taiwan.
Tambahnya, syarikat itu berkemampuan untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 95% atau 100% daripada kadar penggunaan semasa sebanyak 85%.
Kini, syarikat berkenaan mempunyai 687 pengeluaran sarung tangan.
“Kami percaya, kami mampu memenuhi permintaan yang meningkat. Top Glove memiliki 33 kilang sarung tangan dan kapasitti pengeluaran 70.5 bilion keping setiap tahun,” katanya.
“Kami akan teruskan pengeluaran sebanyak yang mungkin bagi membantu keadaan yang dihadapi rakyat China dan negara lain serta membantu menyelamatkan nyawa,” kata Lim.
Selain 33 kilang yang menghasilkan sarung tangan, Top Glove Corp juga mempunyai dua loji lateks, tiga kilang kimia, bekas kilang sarung tangan, dua kilang bahan pembungkusan, satu kilang barangan pergigian dan satu kilang kondom.
Daripada jumlah itu, 38 daripadanya terletak di Malaysia, empat di Thailand dan satu di China.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya dimaklumkan oleh pengeluar sarung tangan di seluruh dunia untu kmeningkatkan pengeluaran.
“Kami dimaklumkan oleh banyak pengeluar di negara seluruh dunia telah meningkatkan pembelian dan meminta penghantaran lebih cepat.
“China meminta lebih banyak sarung tangan dan mahu ia dihantar dengan cepat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, industri sarung tangan bertungkus lumus untuk menghantar berbilion sarung tangan ke China, yang merupakan keutamaan, serta memastikan bekalan cukup untuk negara lain.
Strategi pertahanan dan perlindungan bermakna lebih banyak sarung tangan diperlukan,” katanya.
Low berkata, persatuan itu melakukan yang terbaik bagi memastikan bekalan memenuhi permintaan di kawasan kritikal.
“Kami melakukan yang terbaik bagi memastikan bekalan memenuhi permintaan di kawasan yang lebih kritikal dan kami akan alihkan penghantaran ke China,” katanya.
“Masih terlalu awal untuk tahu jumlah sebenar sarung tangan dihantar ke China, namun yang pasti beberapa ratus juta hanya untuk China sahaja,” katanya.
MARGMA adalah persatuan industri tanpa keuntungan yang terdiri daripada pengeluar sarung tangan getah Malaysia, pembekal berkaitan dan juga organisasi sokongan. – 31 Januari, 2020.
Komen