Pahang lulus tapak kemudahan pelupusan kekal Lynas 


Pembinaan PDF merupakan satu daripada tiga syarat yang dikenakan kerajaan untuk apabila memperbaharui permit operasi Lynas Ogos tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2020.

KERAJAAN negeri Pahang bersetuju menyediakan tapak bagi kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa daripada kilang nadir bumi di Gebeng, Pahang, lapor Malaysiakini.

Laporan itu memetik setiausaha syarikat Lynas, Andrew Arnold sebagai berkata, tapak berkenaan terletak lebih 30 km ke utara dari arah ibu negeri Pahang iaitu di kawasan terpencil di Bukit Ketam bersempadan dengan negeri Terengganu.

PDF itu bagi menguruskan sisa penulenan air larut lesap (WLP) daripada loji berkenaan.

Arnold juga dipetik sebagai berkata, Gading Senggara Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor bagi menguruskan reka bentuk, pembinaan dan operasi PDF.

“Jumlah anggaran yang akan dibayar kepada GSSB untuk menguruskan keseluruhan projek PDF adalah AS$98 juta (RM400.72 juta),” beliau dipetik sebagai berkata.

Tempoh yang diunjurkan untuk tempoh masa pembayaran ini adalah sehingga 2026.

Menurut Malaysiakini, GSSB mempunyai lesen untuk pelupusan sisa industri bagi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan merupakan pemegang konsesi yang dilantik oleh kerajaan.

PDF merupakan salah satu daripada tiga syarat yang dikenakan kerajaan Malaysia apabila memperbaharui permit operasi Lynas pada Ogos tahun lalu. Ia adalah untuk tempoh enam bulan.

Syarat lain adalah Lynas perlu membina kemudahan cracking and leaching (pemecahan dan larut-resap) di luar negara yang mana proses pengekstrakan nadir bumi dijalankan.

Syarat ketiga adalah untuk menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai CondiSoil dalam bidang pertanian.

Pembaharuan permit Lynas pada Ogos tahun lalu dibuat selepas menerima banyak bantahan termasuk daripada wakil rakyat Pakatan Harapan yang menolak operasi loji itu di negara ini.– 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen