KENYATAAN Nga Kor Ming bahawa DAP akan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) jika kerajaan gagal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanyalah pandangan peribadi, kata Mohamad Sabu.
Presiden Amanah itu berkata, kenyataan Nga yang juga timbalan setiausaha agung DAP itu bukanlah pendirian sebenar dan rasmi parti berkenaan, dan isu tersebut akan tetap dibincangkan kepimpinan PH.
“Kita (PH) akan bincang, itu pandangan peribadi (Nga).
“Itu bukan pendirian Kongres DAP, kita anggap itu pandangan peribadi dan keputusan mesyuarat itu lebih penting,” katanya kepada media pada satu program di Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini.
Tambah Mohamad, kenyataan Nga adalah perkara biasa dan bukan satu ugutan terhadap kerajaan.
Kenyataan Nga itu dikeluarkan dalam satu wawancara bersama akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily yang dilaporkan semula oleh MalaysiaKini.
“Kita malah capai kesepakatan bahawa bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.
“Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang,” kata Nga dipetik berkata.
Namun, Nga dalam penafian selepas itu mendakwa wawancaranya disalah tafsir dan diambil di luar konteks.
Jelasnya, wawancara tersebut adalah berkenaan usaha reformasi Parlimen yang telah dicapai.
“Dengan jelas petikan itu diambil di luar konteks dan tajuknya tidak tepat,” katanya.
Jawatankuasa khas semakan UEC dibentuk oleh Kementerian Pendidikan pada 2018 baharu sahaja menyiapkan laporan bagi membantu kerajaan membuat keputusan mengenai pengiktirafannya.
Jawatankuasa itu sedang menunggu masa untuk menghantar laporan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga memangku jawatan menteri pendidikan sekarang.
Pengiktirafan UEC adalah salah satu janji manifesto pilihan raya 2018 PH. – 30 Januari, 2020.
Komen