PAS kutip derma RM5 setiap ahli untuk saman Sarawak Report


Diyana Ibrahim

PAS hari ini melancarkan kutipan dana sebanyak RM5 bagi setiap ahli bagi membantu parti Islam itu meneruskan saman terhadap Sarawak Report.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kutipan derma itu dibuat kerana PAS tidak mempunyai dana mencukupi untuk menyaman Sarawak Report.

“PAS tidak ada duit tapi orang PAS sanggup berkorban pertahan maruah parti.

“Sumbang RM5 seorang bagi tampung kos saman,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda di Kota Sarang Semut Kedah pagi ini.

Tahun lalu Sarawak Report dalam laporannya mendakwa pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Dalam laporan disiarkan pada 6 Ogos, 2016 itu, wang itu didakwa diberi sebagai pertukaran untuk sokongan PAS kepada Umno dan Barisan Nasional.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pada sidang media berkata PAS menyasarkan kutipan dana RM200,000.

“Kita sasarkan dalam tempoh dua tiga hari ini dapat RM200,000 dan kita yakin akan dapat capai jumlah itu. Kos guaman lebih kurang jumlah itu,” katanya.

Beliau berkata PAS nekad menyaman Sarawak Report sebagai menjaga nama baik parti itu. – 27 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen