SARAWAK mengambil langkah menyekat pelajar China yang kembali ke negeri itu selepas pulang ke negara mereka sempena cuti Tahun Baharu Cina, susulan penularan wabak koronavirus.
Sekatan itu merupakan langkah yang diambil jawatankuasa pengurusan bencana negeri bagi mengekang penularan wabak berkenaan di negara ini.
Setakat ini lapan kes disahkan di Malaysia yang mana kesemuanya melibatkan warganegara China.
Jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan berhubung pelan tindakan bersepadu negeri malam tadi berkata, sekatan itu dibuat “sehingga notis atau pengumuman selanjutnya”.
Pelajar dan murid sekolah dari Sarawak yang berkunjung ke China, terutamanya di Wuhan dan wilayah Hubei dinasihatkan untuk menjalani kuarantin sekurang-kurangnya 14 hari atau mendapatkan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan terdekat sekiranya mengalami simptom seperti batuk dan demam.
Pemantauan turut ditingkatkan di semua pintu masuk dan keluar di negeri itu dan mewajibkan semua pelancong atau penumpang mengisi borang pengisytiharan kesihatan.
Menurut kenyataan itu, mereka yang gagal berbuat demikian atau memberikan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan bentuk tindakan yang diambil terhadap mereka.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chng Chieng Jen berkata, pegawai dari kementerian sedang berbincang dengan tiga pengeluar topeng muka di negara ini berhubung kemungkinan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan dalam negara.
Permintaan tinggi itu susulan pembelian panik oleh masyarakat yang menyebabkan kehabisan bekalan, kata Chong pada sidang media di Kuching.
“Ketika ini, pegawai kami dari kementerian mengadakan perjumpaan dengan pengilang dan pembekal bagi membincangkan mengenai peningkatan permintaan topeng muka di pasaran.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan bekalan secukupnya bagi memenuhi permintaan tinggi topeeng muka,” katanya.
Dalam pada itu, Chong turut meminta pemborong dan peniaga agar tidak mengambil kesempatan daripada krisis kesihatan dengan menaikkan harga topeng muka dan produk pembasmi kuman untuk meraih keuntungan.
“Tetapi saya yakin, kebanyakan oeniaga kita beretika, tetapi saya tidak menolak ada dalam kalangan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendaat keuntungan mudah,” katanya.
Terdapat lima jenis topeng muka yang disenaraikan sebagai “barangan harga terkawal” di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Chong berkata penutup hidung dan mulut jenis satu lapisan ditetapkan pada harga runcit RM7 sekotak, jenis dua lapisan (RM10 sekotak atau RM0.20 sen seunit), jenis tiga lapisan (RM25 sekotak atau RM0.80 sen seunit), jenis tiga lapisan jenis ikatan ke kepala (RM30 sekotak atau RM0.80 sen seunit) dan jenis N95 (harga borong RM100 sekotak atau RM6.00 seunit). – 30 Januari, 2020.
Komen