PINDAAN undang-undang syariah untuk menaikkan had umur nikah orang Islam dijangka diluluskan oleh negeri yang ditadbir Pakatan Harapan selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Dr Mujahid Yusof Rawa.
Menteri hal ehwal agama itu berkata, ia adalah salah satu usaha dibuat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil bagi menyelaras undang-undang syariah antara negeri.
Bagaimanapun, jumlah negeri yang akan menaikkan had umur itu akan bergantung kepada penerimaan Majlis Agama Islam negeri tersebut dan kesediaan ahli Dewan Undangan Negeri untuk bertindak.
Ia juga bergantung kepada perkenaan sultan negeri berkenaan, kata Mujahid kepada wartawan selepas majlis pelancaran buku di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), hari ini.
“Kita sentiasa berhubungan dengan semua negeri tentang manfaat meletakkan umur minimum nikah. Lebih mudah untuk dapatkan persetujuan negeri yang ditadbir oleh kerajaan sama seperti kita (PH),” kata Mujahid lagi.
“Ada negeri yang sudah memulakan proses merangka undang-undang untuk dibentangkan di DUN masing-masing. Kami letak sasaran antara pertengahan sehingga penghujung 2020 untuk negeri-negeri yang politiknya sama (dengan kerajaan persekutuan).
“Tetapi, di akhirnya terpulang kepada kesediaan politik kerajaan negeri dan perkenan Sultan masing-masing.”
Putrajaya memulakan kempen untuk memujuk semua negeri meminda undang-undang syariah mereka bagi menaikkan had boleh nikah orang Islam kepada 18 tahun.
Usaha itu digerakkan selepas wujud pelbagai kes berprofil tinggi melibatkan pernikahan gadis bawah umur- ada yang hanya berumur 11 tahun- kerana kemiskinan.
Undang-undang syariah membolehkan pernikahan bawah umur dengan kebenaran mahkamah syariah negeri masing-masing.
Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 menyaksikan PH merampas Putrajaya dan kebanyakan negeri, tetapi lima negeri masih ditadbir pembangkang iaitu PAS di Kelantan dan Terengganu; Barisan Nasional di Pahang dan Perlis; manakala Sarawak ditadbir Gabungan Parti Sarawak. – 30 Januari, 2020.
Komen