KERAJAAN Perak tidak boleh meluluskan status tanah hak milik kekal kepada mana-mana pihak kerana ia bukan saja bertentangan dengan undang-undang malah akan menyusahkan kerajaan negeri pada masa akan datang, kata Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan.
Jelasnya, tindakan itu dikhuatiri akan memberi kesan jangka panjang terhadap kewangan kerajaan negeri.
“Macam mana sesebuah negeri nak membangun kalau ada banyak status tanah hak milik kekal yang perlu diselesaikan kerajaan negeri.
“Sudah tentu kerajaan negeri perlu membayar berbilion ringgit dan sudah tentu ada kesannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shahril mengulas isu status hak milik tanah kekal di Perak yang dituntut terutamanya oleh DAP untuk diluluskan oleh pentadbiran Pakatan Harapan, sesuai dengan janji parti itu semasa pilihan raya umum yang lalu.
Tahun lepas, Exco Perak Dr Abdul Aziz Bari dari DAP berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan memberikan status hak milik kekal ke tanah Kampung Baru di Perak selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Bagaimanapun pada awal tahun ini Menteri Besar Ahmad Faizal Azumi berkata kerajaan negeri terpaksa menangguhkan keputusannya susulan tindakan mahkamah oleh Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin mengenai isu itu.
Aswannudin mengemukakan saman pemula terhadap kerajaan Perak untuk tidak membuat sebarang keputusan berkaitan isu hak milik kekal tanah 999 tahun.
Salinan saman itu dikemukakan kepada Pejabat Menteri Besar Perak selepas ia difailkan di Mahkamah Sivil Ipoh melalui peguam, K Jeyaraj.
Sementara itu, Shahril berkata beliau tidak yakin dengan alasan bahawa keputusan mengenai status tanah itu kononnya atas permintaan rakyat Perak.
Beliau menarik perhatian bahawa isu status tanah itu adalah isu politik yang hanya akan menguntungkan DAP.
“Betul ke ada permintaan untuk status hak milik kekal tanah. Sebab kalau kita tengok DAP saja yang terdesak nak laksanakan.
“Padahal masyarakat Cina di sana sebenarnya mungkin mereka tidak ada permintaan, mereka selesa dengan keadaan sekarang,” katanya.
Beliau juga turut mempersoalkan adakah rakyat benar- benar mampu untuk membayar premium tanah jika kerajaan melaksanakan dasar tersebut.
“Siapa sebenarnya yang dapat keuntungan, mampu ke rakyat, kaum Melayu nak tanggung bayar premium tanah yang pasti sangat tinggi kosnya.
“Ataupun dasar ini cuma memberi kepentingan kepada setengah pihak melindungi kelompok tertentu,” katanya.
Pada masa sama beliau turut menggesa campur tangan Majlis Tanah Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk segera memberi ketetapan yang jelas berhubung isu status pemilikan hak tanah kekal. – 30 Januari, 2020.
Komen