DENGAN Bajet 2018 dianggap sebagai bajet pilihan raya, potongan cukai 2% untuk golongan berpendapatan pertengahan amat jelas disasarkan kepada sekumpulan pengundi yang menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) 2013.
Tetapi berbanding potongan itu, pelepasan khas cukai sebenarnya pasti lebih baik, kata pakar percukaian Dr Veerinderjeet Singh.
Pengerusi Axcelasia Taxand Sdn Bhd itu berkata pelepasan juga lebih disasarkan berbanding potongan cukai, kerana golongan berpendapatan tinggi akan mendapat manfaat daripada potongan itu, Cuma tidak banyak.
“Semua yang membayar cukai akan mendapat manfaat kerana kita semua ada kadar skala.
“Lebih diberikan pelepasan khas kepada mereka yang berpendapatan bercukai antara RM20,000 dan RM70,000. Ia hampir sama dengan pelepasan gaya hidup.
“Pelepasan itu hanya memberi manfaat kepada mereka (berpendapatan RM20,000 - RM70,000). Bagi mereka berpendapatan lebih tinggi, anda boleh guna jadual cukai yang sama jadi tidak akan mendapat pelepasan peribadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan potongan 2% cukai bagi mereka berpendapatan RM20,001-RM70,000.
Langkah kerajaan yang dikatakan bagi membantu kumpulan M40 (isi rumah berpendapatan antara RM3,860-RM8,319) itu tidak mengejutkan menjelang PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.
Pada PRU13, sejumlah besar pengundi M40, yang menetap di kawasan bandar dan pinggir bandar, menyokong pembangkang.
Daripada 165 kerusi di semenanjung Malaysia, BN memperoleh 85 kerusi sementara pembangkang menang 80. Tetapi daripada keseluruhan 85 kerusi persekutuan dimenangi BN, 65 di luar bandar sementara 14 pinggir bandar dan lima di kawasan bandar.
Veerinderjeet berkata kerajaan boleh lakukan apa yang pernah dibuat beberapa tahun lalu, iaitu memberikan pelepasan peribadi untuk kumpulan berpendapatan sederhana.
“Jika anda ubah kadar, ia akan memberikan manfaat kepada semua. Jadi kepada golongan kaya, mereka juga dapat kelebihan undang-undang walaupun ia mungkin kecil bagi mereka.
“Memandangkan anda sasarkan kumpulan M40, kenapa perlu berikan kepada mereka yang berada di kelas atas.
“Jika objektifnya untuk banya M40, maka pelepasan khas adalah cara terbaik,” katanya.
Pada Bajet 201, dan semakan Bajet 2016, kerajaan mengumumkan pelepasan cukai khas RM2,000 bagi mereka yang berpendapatan RM8,000 ke bawah sebulan.
Menurut laporan tahunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 2014, terdapat kira-kira 2.33 juta pembayar cukai individu daripada 14 juta pekerja di Malaysia. Namun, LHDN tidak menyediakan maklumat agihan pembayar cukai mengikut lingkungan cukai masing-masing.
Adakah ia akan benar-benar membantu?
Muhammad Hanafi Idris, 35, yang berpendapatan bercukai RM60,000 berkata walaupun dia akan mempunyai lebihan RM800 tahun depan susukan potongan kadar cukai itu, dia masih tidak pasti bagaimana wang itu akan benar-benar membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan keluarga.
“Duit lebih itu masih tidak dapat banyak menampung walaupun saya akan dapat lebih RM66 setiap bulan tetapi kos susu untuk bayi saya yang baru lahir ialah RM80 sebulan. Jadi saya tidak tahu bagaimana ia benar-benar dapat membantu daripada segi kos sara hidup.
“Apa yang benar-benar dapat membantu ialah jika kerajaan dapat meningkatkan jumlah maksimum bagi pelepasan anak,” kata bapa anak empat itu.
Jurutera awam yang bekerja separuh masa sebagai ejen insurans itu berkata, dia membelanjakan kira-kira RM900 sebulan untuk yuran jagaan anak kerana dia dan isteri bekerja sepenuh masa.
“Jika pelepasan anak bawah enam tahun dinaikkan, lebih baik kerana kos anak berumur enam tahun ke bawah sekarang semakin mahal.
“Pusat jagaan kenakan bayaran lebih mahal untuk bayi. Harga biasa dalam RM300 seorang di Shah Alam,” katanya.
Bagi taksiran tahun 2017, had pelepasan cukai untuk yuran penjagaan anak (pusat jagaan atau tadika) ialah RM1,000 dan had pelepasan biasa untuk anak RM2,000 setahun.
Hafizi Muhammad dari Klang berkata dia akan hanya mendapat lebihan RM300 kerana pendapatan bercukainya ialah RM35,000.
“Saya tidak fikir perbezaannya begitu terasa. Mungkin saya boleh guna wang lebih itu untuk perbelanjaan harian kerana apa yang saya boleh buat dengan duit itu pun mungkin bawa keluarga makan di luar atau berjalan-jalan ke bandar bersama anak,” katanya.
Katanya, dia mungkin membelanjakan wang lebihan itu kerana sudah pun mempunyai tabungan daripada gaji bulanan yang diketepikan.
Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank Anthony Dass berkata lebihan wang itu dapat membantu kumpulan M40 mengekalkan standard kehidupan mereka.
“Potongan seperti itu akan memberikan lebihan wang untuk mereka walaupun jumlah peratusannya kecil dan mungkin ada yang akan menjadikan ia tabungan.
“Tetapi kebanyakan daripada mereka akan membelanjakannya,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi Lee Heng Guie berkata kadar lebih rendah akan membantu mereka yang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan, untuk memperoleh sedikit simpanan.
Dianggarkan lebih 261,000 orang akan dikecualikan daripada membayar cukai susulan potongan 2% itu.
“Mereka ini akan mendapat sedikit simpanan daripada pengubahsuaian itu, jadi ia penting untuk mereka.
“Ia baik untuk ekonomi kita kerana jika kerajaan mampu, mereka patut memulangkan wang kepada rakyat, bukannya memberikan peruntukan besar kepada kementerian di mana kita tidak tahu sama ada wang itu disalurkan kepada rakyat atau tidak,” kata pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) itu. – 6 November, 2017.
Komen