MAHKAMAH Persekutuan akan mendengar permohonan Lim Lip Eng untuk membatalkan saman difailkan MCA berkaitan tuduhan dibuat Lim bahawa parti Cina itu menyalahguna dana awam sekolah Cina.
Pendengaran akan berlangsung pada 12 Mac depan.
Lim yang merupakan ahli Parlimen Kepong daripada DAP menimbulkan persoalan sama ada undang-undang membenarkan parti politik menyaman individu.
Beliau akan diwakili oleh peguam Gopal Sri Ram di Mahkamah Persekutuan.
MCA memfailkan saman itu pada 17 Julai 2017 menerusi setiausaha agungnya ketika itu, Ong Ka Chuan mendakwa Lim mengeluarkan kenyataan fitnah kepada media di lobi Parlimen pada 15 Mac 2017.
Parti komponen Barisan Nasional itu menuntut ganti rugi RM100 juta dan injuksi ke atas Lim daripada mengulangi kenyataan itu.
Perbicaraan ditetapkan pada 21 sehingga 24 September depan, kata peguam Lim, Leong Yan Wen, hari ini.
Pengurusan kes dibuat dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rozana Ali Yusof, hari ini.
MCA diwakili peguam Tai Jun Yan.
Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 19 Mac depan.
Semua prosiding mahkamah tinggi boleh ditangguhkan sementara menungu perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, tambah Leong.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dibuat pada 27 Februari tahun lepas yang memutuskan saman difailkan MCA dibicarakan. – 30 Januari, 2020.
Komen