KABINET sudah meluluskan pembelian 200 kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk pasukan polis tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, pasukan polis masih memerlukan aset baharu lain seperti dron yang sudah dimaklumkan kepada Kabinet, tambahnya.
“200 MPV baharu akan dihantar. Ia langkah yang baik, bagaimanapun mereka masih memerlukan lebih banyak aset dan lebih banyak dana diperlukan,” kata Muhyiddin pada lawatan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Polis memerlukan dron bagi membantu pemantauan di kawasan sensitif seperti timur laut Sabah.
“Saya sudah sebut dalam mesyuarat Kabinet yang kita mungkin perlukan dron untuk kawal kawasan seperti di Sabah. Ia sudah dibincangkan harapnya menjadi kenyataan (peruntukan diluluskan).”
Muhyiddin bersama Timbalannya Azis Jamman mengadakan lawatan rasmi kepada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador di Bukit Aman, hari ini.– 30 Januari, 2020.
Komen