PEGUAM kepada Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, mengadakan pertemuan selama 45 minit di kamar dengan hakim SRC International, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.
Pertemuan berhubung permohonan ex-parte untuk notis tunjuk sebab kerana menghina prosiding terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang dan Malay Mail menerusi kenyataan yang diterbitkan pada 9 November tahun lalu.
Shafee enggan mendedahkan hasil permohonan itu.
“Kami tidak dibenarkan mendedahkannya,” kata peguam kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pemeriksaan dengan sumber mahkamah menunjukkan tarikh pengurusan kedua kes akan ditetapkan selepas “dokumentasi pengadilan yang betul” difailkan.
Permohonan ex-parte dibuat kepada mahkamah tanpa memberi notis kepada pihak lain berhubung prosiding.
Ini adalah pertemuan kedua mengenai permohonan itu, memandangkan mahkamah sebelum ini mengarahkan Najib memfailkan notis dalam usahanya mendakwa veteran DAP itu kerana menghina.
Shafee sebelum ini memberitahu pemberita pada 29 November tahun lepas, selepas bertemu dengan hakim yang sama, mahkamah memerintahkan kertas tunjuk sebab “diubah” kerana ia tidak memenuhi syarat.
Artikel pada 9 November berjudul “Kit Siang: High Court decision on Najib and Tanjung Piai by-election outcome will indicate where Malaysia headed towards.”
Dalam afidavit sokongannya, Najib mendakwa Lim cuba menekan mahkamah untuk membuat keputusan perbicaraan jenayah yang melibatkan bekas perdana menteri.
“Ancaman dan intimidasi seperti ini, terutamanya dalam prosiding yang berterusan adalah jelas untuk mengalihkan keadilan dan oleh itu, ia campur tangan dalam proses kehakiman.
“Artikel itu, apabila dibaca secara keseluruhannya, mempunyai penghinaan serius terhadap mahkamah dan juga serangan tidak wajar terhadap badan kehakiman Malaysia,” kata Najib.
Ahli Parlimen Pekan berdepan tiga perbicaraan jenayah yang sedang berlangsung. Bagi kes SRC International, Najib sedang dibicarakan atas tuduhan berkaitan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, serta dituduh menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015. – 30 Januari, 2020.
Berita penuh di sini
Komen