GEREJA Katolik di Sarawak bertemu dengan seorang ahli Parlimen di Sabah untuk berkongsi rekod mengenai dakwaan penukaran agama pelajar di kedua-dua negeri di Borneo.
Ketua Uskup Katolik Kuching Simon Poh memberitahu The Malaysian Insight yang beliau ingin bertukar pandangan mengenai perkara ini dengan menteri bantuan pendidikan dan inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang, mengenai pengalaman mereka berhubung pertukaran agama secara tidak beretika dan dipaksa di negeri masing-masing.
Perkara ini berbangkit kerana Poh dan Lasimbang, yang juga Adun Moyog, bekerja secara berasingan dalam membuktikan kebenaran dakwaan seorang wanita Iban di Sibu, Sarawak bahawa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) melalui Dana Program Inspirasi Malaysia (Inspirasiku), cuba menukar agama dua anak perempuannya dengan imbuhan wang tunai.
Lasimbang juga meneliti dakwaan lain yang dibuat ibu bapa seorang murid di Sabah yang berusia 17 tahun iaitu anak lelaki mereka ditukar agama kepada Islam tanpa persetujuan mereka di SM Elopura Bestari.
“Saya pasti kita boleh berkongsi pengalaman masing-masing kerana kes di Sabah mungkin tidak sama seperti di Sarawak,” kata Poh.
Bagaimanapun, Lasimbang dan Poh memberitahu The Malaysian Insight mereka masih cuba mengesahkan dakwaan wanita Iban itu. Mereka setakat ini tidak dapat mengesan wanita tersebut.
Poh, pada 2018 dikepung sekumpulan pemuda Islam ketika keluar dari perbicaraan di Mahkamah Persekutuan di Kuching, dan bertegas mengatakan beliau tidak percaya dengan penukaran agama yang dipaksa dengan “cara tidak beretika”.
“Kepercayaan agama seseorang harus dihormati.
“Hormat dan percaya kepada yang lain. Apa pun penukaran agama sepatutnya harus beretika,” kata Poh yang kini mempengerusikan Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS).
Beliau berkata apa yang penting adalah saling menghormati antara satu sama lain dan penukaran agama tidak perlu dipaksa.
Bagaimanapun, beliau mengatakan dakwaan wanita Iban itu menarik perhatiannya kerana “perkara ini benar-benar berlaku” di negerinya.
“Ia bukan sesuatu yang baru. Perkara ini berlaku sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Seorang wanita Iban, yang dilaporkan tinggal di Sibu, Sarawak, mendakwa anak perempuannya, yang sedang belajar di Universiti Pendidkan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak memberitahunya dia ditawarkan bantuan kewangan dari Yapeim dengan syarat masuk Islam.
Dia juga dilaporkan menjadi ahli kariah katedral Sacred Heart Katolik di Sibu.
Wanita itu juga berkata seorang lagi anak perempuannya yang belajar di St Elizabeth di Sibu, juga menerima tawaran sama dengan jumlah RM500.
YaPEIM bagaimanapun menafikan tuduhan itu, berkata program Inspirasiku itu bertujuan membantu pelajar dari keluarga B40.
Lasimbang sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight beliau sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu lama penukaran agama pelajar secara paksa di sekolah. – 30 Januari, 2020.
Komen