Kelengkapan Malaysia cukup untuk kesan koronavirus, kata TPM


Alfian Z.M. Tahir

Wan Azizah melawat KLIA untuk meninjau sistem dalam menangani koronavirus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Januari, 2020.

MALAYSIA memiliki peralatan mencukupi untuk mengesan pembawa virus novel koronavirus di dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap kepada wartawan selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 petang tadi, Wan Azizah memberi jaminan peralatan itu mampu menyaring penumpang yang menghidapi gejala selesema.

“Kami mempunyai empat pengimbas di tiga lokasi di dua lapangan terbang. Kementerian Kewangan mengatakan bahawa ia akan menyediakan belanjawan tambahan untuk membeli peralatan baru seperti pengimbas suhu badan, tetapi pada masa ini kita mempunyai teknologi yang mencukupi.

“Pada masa ini apa yang kita ada sudah mencukupi. Kita mempunyai pengimbas suhu tubuh khas. Ia berada keupayaan kita, “katanya.

Wan Azizah turut menjamin bahawa setiap pelawat dari China serta rakyat Malaysia yang datang dari republik itu akan melalui pemeriksaan menyeluruh.

“Saya berada di sini untuk menyaksikan bagaimana proses pemeriksaan penumpang sedang dilakukan. Saya berpuas hati dan saya yakin bahawa kita dapat menangani masalah itu.

“Semua orang dari China dan rakyat kita yang datang dari negara itu akan diperiksa.

“Suhu tubuh mereka akan diperiksa untuk gejala selesema dan lain-lain. Jika mereka perlu dikuarantin, kita perlu asingkan mereka terlebih dahulu untuk pemeriksaan lanjut.

“Petugas kita di barisan hadapan mempertaruhkan diri mereka 24 jam sehari, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka semua atas dedikasi mereka,” tambah Wan Azizah.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan China untuk membawa pulang 78 warga Malaysia yang terjejas di Wuhan, pusat wabak koronavirus bermula.

Malaysia melaporkan tujuh kes positif novel koronavirus, kesemua mereka adalah warga China.

Tiga kes terbaru melibatkan kanak-kanak berusia 4 tahun yang dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi; seorang lelaki berusia 52 tahun di wad pengasingan Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru dan seorang wanita.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri berkata rakyat China dari wilayah Hubei, dilarang untuk memasuki Malaysia buat sementara waktu.

Jumlah kematian akibat wabak virus itu kini meningkat kepada 131 orang, di samping pihak berkuasa di wilayah tengah Hubei melaporkan 25 kematian baru dan 840 kes baru. – 29 Januari, 2020. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen