PIHAK pengurusan Masjid Putra membuka semula masjid itu kepada pelancong selepas ditutup sejak Ahad lalu berikutan kebimbangan penularan virus Wuhan.
Jurucakap pengurusan Masjid Putra berkata masjid itu dibuka semula kepada pelancong bukan Islam hari ini selepas waktu makan tengah hari.
“Imam Besar masjid sudah mengarahkan kepada pengurusan untuk membuka semula masjid kepada pelancong hari ini.
“Jadi sekarang ini mereka sudah dibenarkan masuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut jurucakap itu, pihak pengurusan bertindak menutup masjid buat sementara waktu kepada pelancong sebelum ini kerana bimbang keselamatan petugas memandangkan jumlah kehadiran pelancong sangat tinggi pada hari cuti umum.
“Terdapat kebimbangan petugas sewaktu sambutan Tahun Baru Cina kerana kehadiran pelancong sangat tinggi berbanding biasa.
“Jadi kita bimbang berlakunya sentuhan secara terus tambahan pula pihak kita masih belum bersedia dengan langkah-langkah pencegahan, kita tidak ada peralatan lengkap lagi, sebab itu kita putuskan untuk tutup sementara sampai keadaan reda,” katanya.
Jurucakap itu berkata jumlah pelancong yang datang ketika tempoh sambutan Tahun Baru Cina mencecah 2,000 orang sehari berbanding hari biasa yang merekodkan jumlah pelancong kurang dari 1,000 orang.
Tambah jurucakap itu lagi, kini pihak petugas masjid lebih bersedia dengan mengikut langkah pencegahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan kepada pelancong.
Terdahulu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan akan dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu berhubung wabak Novel Koronavirus.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berita palsu bahawa ada masjid dan muzium yang tidak membenarkan kemasukan pelancong bukan Islam.
“Ini (menghalang pelancong) bukan dasar kerajaan. Kita tak pernah halang sesiapa melawat (tempat ini).
“Ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu yang mahu mencetuskan kebencian antara kaum,” katanya di Putrajaya.
Semalam Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi juga mahu lokasi tumpuan pelancong perlu terus dibuka walaupun wujud kebimbangan terhadap penularan virus itu.
Katanya, kementerian akan menulis surat kepada pihak yang berkenaan dan meminta mereka tidak melarang pelancong berkunjung ke mana-mana lokasi tumpuan. – 29 Januari, 2020.
Komen