MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ikat jamin Adun Gadek G. Saminathan, yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membacakan keputusan berkata, walaupun Mahkamah Tinggi pada November lalu mengisytiharkan Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak berperlembagaan, permohonan ikat ditolak disebabkan oleh keseriusan hukuman atas kesalahan yang didakwa ke atas Adun itu.
Seksyen 13 tidak memperuntukkan ikat jamin bagi individu yang dituduh di bawah Sosma. Saminathan didakwa di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Selain itu, Shahrir juga berkata LTTE masih diwartakan sebagai kumpulan pengganas.
Hakim itu juga memutuskan bahawa masalah kesihatan yang dihadapi oleh Saminathan tidak sampai mengancam nyawanya dan dirawat di Penjara Sungai Buloh, di mana beliau direman.
Saminathan, 34, antara 12 individu yang ditahan pada Oktober tahun lalu dibawah Sosma. Beliau memakai kemeja kelabu dan bergari ketika hakim membacakan keputusan.
Turut kelihatan di galeri awam selain keluarga dan penyokong Saminathan adalah pemimpin-pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Ronnie Liu, Adun Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan juga Timbalan Pengerusi PSM S. Arutchelvan.
Saminathan diwakili peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah dan Rohaiza Abd Rahman mewakili pendakwaan. – 29 Januari, 2020.
Komen