Tuduhan tak ‘lengkap’ tetapi Zuraida masih jawab, kata pembantu


Chan Kok Leong

Pertuduhan ke atas Zuraida Kamaruddin tidak lengkap, kata Setiausaha Politiknya Noor Hizwan Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Januari, 2020.

NAIB Presiden PKR Zuraida Kamaruddin sudah menjawab kesemua tiga pertuduhan ke atasnya dibuat Lembaga Displin walaupun ia “tidak lengkap”, kata pembantunya.

“Saya sudah memaklumkan Lembaga Displin yang tuduhan ke atas Zuraida tidak benar kerana mereka merujuk kepada transkrip ucapannya termasuklah di Hotel Renaissance,” kata Noor Hizwan Ahmad di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

“Tetapi, kami tidak menerima sebarang transkrip atau teks,” tambahnya.

Bagaimanapun, Zuraida masih menjawab kesemua tiga pertuduhan itu “kerana menghormati jawatankuasa displin walaupun tiada transkrip” diberikan, kata Noor Hizwan.

Noor Hizwan yang merupakan setiausaha politik Zuraida berkata demikian ketika bercakap kepada wartawan selepas menghantar jawapan surat tunjuk sebab kepada Lembaga Displin tengahari tadi.

Pada 15 Januari lalu, Lembaga Displin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida berkaitan ucapannya di Hotel Renaissance pada 8 Disember tahun lepas.

Zuraida dan beberapa pemimpin kanan PKR yang rapat dengan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dituduh mengecam kepimpinan parti pada sebuah majlis bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

WKB 2030 adalah dasar pembangunan negara yang digerakkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diterajui Azmin.

Noor Hizwan berkata Zuraida tidak dapat hadir menghantar sendiri jawapan surat tunjuk sebab itu kerana perlu hadir mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Hampir 100 ahli PKR berkumpul di depan pejabat parti mendesak pemecatan Zuraida Kamaruddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Januari, 2020.

Ditanya apakah tindakan Zuraida seterusnya, Noor Hizwan berkata: “Beliau akan teruskan tugas sebagai naib presiden dan menteri sementara menunggu keputusan (Lembaga Displin).

Sementara itu, Noor Hizwan turut mengesahkan Zuraida menerima notis tuntutan daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

“Ia dihantar ke pejabat menteri. Tetapi, masih tidak ada saman fitnah lagi,” katanya.

Semalam, Saifuddin memberitahu wartawan tentang rancangannya menyaman Zuraida kerana ucapan di Hotel Renaissance.

Pada majlis tersebut, Zuraida didakwa menggelarkan Saifuddin dan pemimpin PKR lain sebagai “budak pampers”. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen