SARAWAK memperketatkan kawalan di beberapa lagi pintu masuk ke negeri itu yang terletak di kawasan pedalaman bagi mencegah jangkitan koronavirus, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas hari ini.
Jika kamera pengimbas suhu dan kit ujian darah pantas digunakan di pintu masuk lapangan terbang besar di Kuching, Siu, Bintulu dan Miri, pemeriksaan di pintu masuk ini dilakukan secara manual, kata Uggah.
Pintu masuk itu ialah lapangan terbang Mulu, terminal feri di Limbang, kawasan sempadan di Sindumin - Sabah ke Lawas - dan sempadan Tebedu dan Entikong di sempadan Kalimantan-Sarawak.
Pemeriksaan akan dilakukan pegawai kesihatan dan Jabatan Imigresen negeri, katanya lagi kepada pemberita pada sidang media hari ini.
MasWings mengendalikan penerbangan harian dari Kota Kinabalu ke Mulu, manakala perkhidmatan feri pula dari Labuan.
Beliau turut menggesa mana-mana penduduk di negeri itu yang baru pulang dari China supaya tidak keluar dari rumah sebagai langkah pencegahan wabak koronavirus.
Kerajaan negeri juga mengarahkan majikan memberi cuti selama 14 hari kepada pekerja yang baru pulang dari China untuk megelakkan kemungkinan jangkitan.
Walaupun tiada akta yang boleh memaksa majikan berbuat demikian, tetapi kerajaan negeri berharap setiap majikan akan memberi kerjasama.
“Majikan perlu bertanggungjawab. Sila berikan kerjasama,” katanya.
Selain itu, Unggah juga berkata kerajaan negeri buat masa ini akan membekukan semua permohonan mendapatkan pekerja dari China. – 29 Januari, 2020.
Komen