BEKAS pengurus perhubungan pelanggan AmBank Islamic Bhd Joanna Yu memohon pembatalan saman sivil difailkan Najib Razak terhadapnya dan AmBank.
“Kami mendapat notis semalam,” kata peguam Najib, Farhan Shafee hari ini selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Kamal Md Shahid.
Yu adalah saksi penting dalam perbicaraan kes SRC International, memfailkan permohonan itu berdasarkan sebab Najib menyalahguna proses mahkamah.
Beliau diwakili peguam Jessica Ram Binwani dan Samuel Tan mewakili AmBank.
Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 4 Februari.
Dalam samannya bulan lepas, Najib mendakwa akaun AmBank miliknya yang berakhir dengan nombor 694, 880, 898 dan 906 diuruskan tanpa pengetahuannya.
Dalam kenyataan tuntutan, beliau menuduh AmBank dan Yu khilaf tanggungjawab mereka dan cuai dalam menguruskan akaunnya. Najib juga mendakwa maklumat akaunnya dibocorkan kepada Low Taek Jho.
Najib mempunyai tiga perbicaraan berasingan yang sedang berlangsung juga menuduh Low secara aktif memastikan maklumat perbankan akaunnya disembunyikan daripadanya.
Najib menuntut bayaran ganti rugi khas, umum, teruk dan tauladan serta faedah untuk semua akaunnya yang akan dinilai mahkamah.
Yu dalam permohonannya mendakwa saman Najib adalah untuk memberi kelebihan kepada pembelaan kes ahli Parlimen Pekan itu.
“Kami berpandangan yang mahkamah perlu mendengarnya (saman Najib),” kata Farhan, menambah yang pasukan pembelanaan Najib akan menjawab permohonan Yu.
Perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib akan disambung pada 3 Februari.
Lima puluh tujuh orang saksi pendakwaan memberi keterangan. Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu dijangka memanggil berpuluh saksi untuk membela diri. – 29 Januari, 2020.
Komen