Ika Mustafa lega bebas virus Wuhan


Diyana Ibrahim

Penyanyi Ika Mustafa lega apabila keputusan laporan kesihatan mengesahkan dirinya bebas daripada jangkitan koronavirus dari Wuhan, China. – Gambar Facebook, 29 Januari, 2020.

PENYANYI Ika Mustafa lega apabila keputusan laporan kesihatan mengesahkan dirinya bebas daripada jangkitan koronavirus (2019-nCov) dari Wuhan, China.

Penyanyi berusia 22 tahun itu dikuarantin di Hospital Sungai Buloh selepas menunjukkan simptom dijangkiti virus tersebut sekembalinya dari Haikou, China, pada Sabtu lalu.

Katanya, dalam tempoh lebih dua hari dikuarantin, diasingkan dari keluarga dan hanya boleh berurusan dengan jururawat yang memakai hazmat merupakan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidupnya.

Bahkan beliau berkata ia tidak ubah seperti filem Hollywood dan tidak menjangkakan akan berdepan dengan situasi tersebut.

“Betul rasa macam dalam filem, buatkan saya rasa pelik. Sebab ingat jadi dalam filem saja.

“Dalam tempoh kuarantin saya rasa memang keseorangan, masa mereka (pekerja perubatan) nak hantar saya masuk wad semua kawasan dikosongkan.

“Orang yang bawa saya pun pakai sut perlindungan (hazmat) dan nak masuk ke bilik saya kena lalu lagi satu pintu, baru akan sampai bilik.

“Jururawat pun hanya akan masuk waktu periksa tekanan darah, suhu dan untuk bagi makan saja. Mereka semua lengkap dengan sut hazmat dan setiap kali masuk bilik berbeza, mereka akan buang sut tersebut dan tukar baru,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Biarpun keputusannya negatif namun penyanyi itu masih lagi belum dapat keluar dari hospital.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Damaikanlah itu terbang ke ke Haikou pada 25 Januari lalu bersama 46 warga negara itu termasuk seorang warga emas berusia 60-an, dipercayai warga Wuhan yang tidak sihat.

Beliau kembali ke tanah air pada hari yang sama dan menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan selesema.

Sebanyak empat kes koronavirus dilaporkan di Malaysia setakat ini. Kesemua pesakit adalah pelancong China.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan warganegara China dari wilayah Hubei dan Wuhan dihalang memasuki Malaysia buat sementara waktu.

Semua mekanisme kemasukan dalam negara termasuk kemasukan dengan visa percuma, visa ketibaan, e-visa dan visa manual untuk warga China dari Wuhan dan Hubei digantung secara serta-merta.

Pada masa sama, penyanyi itu berharap orang ramai tidak terlalu panik dan yakin dengan pasukan perubatan negara.

Katanya sepanjang berada dalam tempoh kuarantin, beliau melihat sendiri dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan pasukan perubatan negara untuk menangani wabak tersebut.

“Tak perlu takut sangat sebab sini memang ikut prosedur. Peraturan sangat ketat.

“Kementerian Kesihatan ada telefon saya minta maklumat penerbangan saya, semua tempat yang saya pergi lepas balik Malaysia, semua nama orang yang saya jumpa dan klinik mana.

“Mereka akan pantau dan tak main-main buat kerja,” katanya. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen