SABAH antara negeri yang paling teruk terjejas berikutan pembatalan tempahan hotel oleh pelancong China dicatatkan sehingga 30% hingga 60% susulan penularan wabak koronavirus, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Yap Lip Seng memberitahu The Malaysian Insight, petunjuk awal mendapati Sabah paling teruk terjejas diikuti dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan (Port Dickson), Perak (Ipoh), Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.
Negeri ini menyaksikan banyak pembatalan daripada kumpulan pelancong dan juga pelancong bebas dan independen (FIT).
Sabah juga terkenal dalam kalangan pelancong kerana flora dan fauna, kepelbagaian budaya, pantai yang cantik serta makanan lautnya.
“Pembatalan kumpulan adalah paling tinggi berbanding ejen dalam talian dan segmen lain. Negeri lain turut menerima pembatalan daripada magnitud berbeza,” kata Yap kepada The Malaysian Insight.
“Pembatalan tempahan bilik bermula dari satu hingga ratusan digit bergantung pada saiz hotel dan kebergantungannnya pada pasaran China.
“Setakat ini kerugian dicatatkan setakat ini adalah dari puluhan ribu hingga ratusan ribu, melibatkan pembatalan sehingga akhir Februari, 2020 terutamanya di Kota Kinabalu,” tambahnya.
Yap menyatakan bahawa banyak hotel telah bersetuju untuk memproses bayaran balik dan membatalkan bayaran pembatalan memandangkan keadaan yang tidak diduga. Ejen yang terlibat juga dinasihatkan untuk mendekati hotel masing-masing.
Mengenai langkah berjaga-jaga yang diambil oleh hotel, beliau berkata kemudahan sanitasi bagi tetamu dan pekerja disediakan.

Selain itu, saringan tetamu juga akan dilakukan di kawasan kritikal.
“Pihak hotel mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mencegah penyebaran virus Wuhan dan akan menyokong langkah dan inisiatif oleh kerajaan.
“Kami yakin proses saringan di semua pintu masuk negara akan berkesan.
“Kami juga diberi taklimat bahawa lapangan terbang dan syarikat penerbangan melakukan perkara yang sama untuk mengelakkan penularan wabak itu,” kata Yap.
Beliau berkata wabak itu mungkin menjejaskan Tahun Melawat Malaysia 2020, tetapi industri sudah bersedia untuk pulih apabila tiba masanya.
Beliau berkata mungkin ada pengajaran berharga yang dapat diambil dari situasi ini untuk mempelbagaikan segmen pasaran.
“Buat masa ini industri mengambil inisiatif untuk memanfaatkan ketibaan lain, dan dengan sumber dan daya tarikan yang dimiliki Malaysia, kami yakin dapat memperoleh keuntungan daripada pasaran lain dan bukan hanya China,” jelasnya.
Ahad lalu, Putrajaya mengumumkan penggantungan sementara semua visa pengunjung dari Wuhan, wilayah Hubei yang merupakan pusat penularan wabak berkenaan.
China turut mengenakan sekatan terhadap 15 bandarnya seklaigus menjejaskan kira-kira 57 juta penduduk dalam usaha kerajaan negara itu mengekang penularan wabak berkenaan.
Menurut perstauan pelancongan, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang turut terjejas susulan sekatan ini kerana 80% kumpulan pelancong dari China membatalkan tempahan mereka di negara ini.
Wabak koronavirus itu meragut lebih 106 orang di China, yang mana sebanyak 24 kematian direkodkan wilayah Hubei, dan jumlah kes di seluruh negara berkenaan melebihi 4,000.
Virus berkenaan mencetuskan kebimbangan global kerana ia sama seperti SARS yang meragut ratusan nyawa di seluruh China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003. – 29 Januari, 2020.
Komen