LAPORAN akhir mengenai program subsidi petrol (PSP) yang sepatutnya dilaksanakan awal tahun ini masih belum dibentangkan ke Kabinet, kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
Saifuddin Nasution berkata kementeriannya bersama Kementerian Kewangan baru saja memulakan fasa awal untuk menyiapkan laporan baharu mengenai program itu.
Beliau juga tidak memberikan sebarang tempoh masa bagi kementeriannya menyerahkan laporan tersebut kepada Kabinet.
“Kita belum mengangkat apa-apa laporan akhir kepada jemaah menteri kerana kita baru saja mengadakan mesyuarat pertama pada minggu pertama Januari tahun ini dan ia akan berterusan.
“Akan ada banyak perkara yang kita ambil kira,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Kabinet pada bulan lalu memutuskan pelaksanaan program subsidi petrol itu ditangguhkan dan mengarahkan kementerian Saifuddin memberi penerangan lebih agresif kepada orang ramai mengenainya.
Katanya keputusan akhir mengenai tarikh baharu program itu akan diputuskan semula oleh Kabinet.
“Penangguhan itu harus disertai beberapa tugas dan antara komponen tugas kita diarahkan memberikan memberi penerangan lebih agresif.
“Jadi sehingga Kabinet berpuas hati dengan semua tugas yang diberikan kepada KPDNHEP dan MOF. Dua kementerian ini akan memberi laporan dan dari situ Kabinet akan putuskan,” katanya.
Saifuddin juga memberi jaminan tidak akan berlaku kekurangan bekalan topeng muka yang merupakan salah satu barangan terkawal.
Topeng muka tersebut mendapat permintaan tinggi dari pengguna untuk mengelakkan jangkitan virus Wuhan, namun kata Saifuddin tiada tanda pengurangan bekalan pada waktu ini.
“Kami akan pantau dengan dekat dengan pengimport tentang bekalan jika ia membabitkan dari luar. Dan kami turut berurusan dengan pembekal tempatan supaya tambah pengeluaran mereka,” katanya.
Jelasnya kebanyakan topeng muka diimport dari negara seperti Eropah dan China dan sebahagiannya dari tempatan. – 28 Januari, 2020.
Komen