MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan seorang remaja yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Hakim Azman Abdullah mengarahkan seorang lagi remaja membela diri atas tuduhan sama selepas pendakwa raya berjaya membuktikan wujud kes prima facie.
Kedua-dua remaja terbabit, masing-masing berusia 18 tahun, didakwa 23 tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kedua-duanya berusia 16 tahun ketika pusat tahfiz yang terletak di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, dibakar pada 14 September 2017.
Mereka diwakili peguam Haijan Omar pada perbicaraan hari ini, yang turut dihadiri ibu bapa masing-masing. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.
Dua remaja berkenaan memakai kemeja-T dan tidak bergari ketika mendengar keputusan hakim.
“Kami bersyukur kepada Allah, keputusan ini lebih baik daripada apa yang kami harapkan sebelum ini,” kata Juri Aini Tumon, 56, bapa remaja yang dilepas dan dibebaskan dari tuduhan.
Juri yang bekerja di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia menambah, anaknya itu akan menyambung pelajaran selepas ini.
“Saya tak mahu komen apa-apa lagi,” katanya.
Tarikh pengurusan kes bagi peringkat pembelaan ditetapkan pada 2 dan 3 Mac.
Tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong
Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan. – 28 Januari, 2020.
Komen