Saifuddin mahu saman Zuraida


Diyana Ibrahim

Setiausaha Agung PKR Sifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudahpun mengarahkan peguamnya mengemukakan surat tuntutan kepada Zuraida Kamaruddin, selain satu lagi surat berhubung salah laku menteri tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2020.

SAIFUDDIN Nasution Ismail akan mengemukakan saman ke atas Zuraida Kamarudin atas satu kenyataan fitnah naib presiden PKR itu ke atasnya dalam satu ucapan sewaktu perhimpunan bulan lalu.

Setiausaha agung PKR itu berkata, beliau sudahpun mengarahkan peguamnya mengemukakan surat tuntutan kepada Zuraida, selain satu lagi surat berhubung salah laku menteri tersebut.

“Selain surat disiplin kepada Zuraida saya juga ada satu lagi surat iaitu (sama) saya, bukan parti tapi surat peribadi saya kepada dia.

“Ini kerana ucapan dia itu juga mengandungi beberapa unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya,” katanya kepada petugas media di Putrajaya hari ini.

Saifuddin merupakan antara sasaran dalam kritikan Zuraida sewaktu perhimpunan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada Disember lalu.

Dalam majlis yang digelar Kongres Renaissance itu, Zuraida turut mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil dan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Dalam ucapannya, Zuraida antara lain menuduh Saifuddin tamak kerana bertanding di banyak kerusi sewaktu PRU14 – di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Dun Pantai Jerejak.

“Kemudian tamak bertanding dua kerusi satu kerusi parlimen, takut kalau kalah jadi menteri nak jadi ketua menteri, timbalan ketua menteri Pulau Pinang,” kata ahli Parlimen Ampang itu dalam ucapannya.

Zuraida turut mengaitkan Anwar dengan mendakwa, presiden PKR itu melantik setiausaha agung yang didakwanya tidak mampu membawa sokongan.

“Saya kata pada Datuk Seri, lantik seorang setiausaha agung tapi tak boleh bawa sepuluh orang ahli pun sokong Datuk Seri di mahkamah,” katanya.

Selain itu, Zuraida juga mendakwa Anwar memberitahunya bahawa tuduhan seks melibatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali merupakan perkara yang benar.

“Anwar cakap, Zuraida, betul. Video itu memang Azmin. Polis dan SB (Cawangan Khas) cakap itu Azmin”.

“Lepas itu Anwar kata, ‘Mahathir suruh dia pecat Azmin’. Saya jawab, saya kata, kalau suruh pecat, kenapa Mahathir kata, ‘Azmin tak payah pergi cuti. Azmin teruskan kerja’.

“Lepas itu (Anwar) jawab, ‘You tak tahu Mahathir. You tak kenal Mahathir’,” kata Zuraida.

Susulan itu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Displin dan diberi tempoh 14 hari untuk menjawab.

Mengulas lanjut, Saifuddin dalam sidang media hari ini berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Zuraida sudahpun membalas surat tunjuk sebab berkaitan kritikan itu.

“Saya tidak tahu sama ada dia sudah bagi surat atau belum. Yang saya tunggu dari Zuraida ialah satu surat saman yang diberikan kepadanya itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad berkata tiada sebarang surat tuntutan diterima setakat ini daripada Saifuddin.

“Zuraida Kamaruddin kini berada di luar kawasan atas urusan kerja dan beliau sendiri mengesahkan tiada sebarang bentuk notis atau surat saman diterimanya daripada pihak (Saifuddin) seperti yang dimaksudkan,” katanya. – 28 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen