MCA tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PAS untuk menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang namun menegaskan tidak mungkin parti Islam itu akan menyertai Barisan Nasional, kata Wee Ka Siong.
Presiden MCA itu berkata partinya akan bekerjasama dengan PAS di bawah persefahaman yang termeterai ketika ini, selagi tidak ada ancaman terhadap semangat pluralisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Persefahaman yang dimaksudkan beliau adalah pakatan Muafakat Nasional yang melibatkan Umno dan PAS.
“Saya beritahu Umno bahawa mereka boleh bekerjasama dengan PAS. Walau bagaimanapun, jika PAS menentang perlembagaan, maka MCA akan pertahankan.
“(Negara) ini memiliki masyarakat majmuk dan sederhana yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada media baru-baru ini.
Beliau juga berkata PAS tidak berminat untuk menjadi sebahagian daripada BN yang kini terdiri daripada Umno, MIC dan MCA.
Beliau turut mengatakan bahawa MCA telah menunjukkan bahawa ia boleh bekerjasama dengan PAS seperti yang dilihat pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai baru-baru ini.
Dalam pilihan raya tersebut, Jeck Seng dari MCA berjaya mengalahkan calon Pakatan untuk memenangi kerusi yang sebelum ini disandang Pakatan.
Semasa pilihan raya itu, PAS yang turut bertanding pada pilihan raya umum lepas, berkempen untuk MCA dan Jeck Seng dan tidak menghantar calon mereka.
“Walaupun Jeck Seng tidak menyokong Rang Undang-undang Hudud yang diperkenalkan oleh PAS sebelum pilihan raya umum lalu, PAS tidak ambil hati dan terus berkempen untuk pilihan raya kecil itu.
“PAS juga mewakili satu lagi suara umat Islam untuk blok pembangkang di Parlimen,” katanya.
Beliau menambah bahawa PAS telah bekerjasama dengan BN bagi mendedahkan permintaan Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memberi kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). – 28 Januari, 2020.
Komen