JANGKITAN wabak virus Wuhan yang kian meningkat menjadikan perancangan usahawan-usahawan dari China dan Malaysia terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Malaysia bergantung kepada pelancong dari China bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, manakala kumpulan kebudayaan dan ahli perniagaan dari kedua-dua negara menjangkakan lebih banyak program untuk Tahun Pelancongan Budaya Malaysia-China.
Namun penularan wabak Wuhan, koronavirus, yang berlaku pada perayaan Tahun Baru Cina telah memberi kesan kepada rancangan tersebut.
Kumpulan-kumpulan usahawan dan budaya China-Malaysia mengatakan mereka sedang menunggu sehingga perayaan Tahun Baru Cina berakhir, yang biasanya mengambil masa dua minggu bagi menyambung semula program dan acara yang dijadualkan sebelumnya.
Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (MCCCI) Tan Yew Sing percaya bahawa TMM2020 bukan sahaja akan menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama antara kedua-dua negara ia juga bahkan membuka peluang perniagaan yang tidak terhad.
Beliau yakin bahawa wabak itu hanya akan memberi impak jangka pendek dalam perjalanan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Apabila keadaan stabil, kedua-dua negara akan meneruskan rancangan seperti biasa,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.
“Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China tidak menggalakkan delegasi China pergi ke luar negara.”
Setakat ini, MCCCI telah menangguhkan lawatan Februari ke Fuzhou, China untuk hadir pada sidang kemuncak berskala besar perniagaan Malaysia-China yang dijadualkan pada bulan September.
Rombongan kebudayaan dari Yunnan yang sepatutnya mengadakan lawatan ke Malaysia juga telah menggantung rancangan tersebut buat masa ini.
“Kami setuju untuk henti buat masa sekarang, kami percaya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan China sedaya upaya menangani penyakit ini,” kata Tan.
“Saya jangkakan apabila wabak ini terkawal, aktiviti pertukaran budaya atau perniagaan antara Malaysia dan China akan diteruskan seperti biasa.”
Malaysia adalah antara antara negara yang kini berusaha untuk membendung koronavirus novel dari Wuhan yang menyebabkan 2,800 orang jatuh sakit di seluruh dunia dan membunuh 80 orang di China.
Putrajaya mengesahkan empat kes jangkitan dapat dikesan dalam negara, kesemua mereka adalah warga China yang memasuki negara ini untuk bercuti.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menyatakan bahawa keadaan di Malaysia tidak cukup serius untuk menyekar warga China daripada memasuki negara ini.
Sementara itu, China mengambil keputusan untuk melaksanakan kuarantin terhadap 60 juta orang di seluruh wilayah dan bandar yang terlibat demi membendung virus itu tersebar.
Persatuan kebudayaan Cina, Hua Zong berkata setakat ini, tiada pelancong dari China membatalkan rancangan untuk menghadiri perhimpunan Tahun Baru Cina yang dianjurkan NGO itu.
Presiden Hua Zong, Goh Tian Chuan berkata delegasi dari Beijing dan Fujian akan menghadiri himpunan itu pada 3 Februari.
“Perwakilan ini kebanyakannya dari wilayah Beijing dan Fujian, dan tidak ada delegasi dari Wuhan.” katanya kepada The Malaysian Insight. – 28 Januari, 2020.
Komen