PRESIDEN MCA, Wee Ka Siong tidak yakin Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diiktiraf oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), terutamanya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini sebagai pemangku menteri pendidikan.
“Saya waspada dengan Dr Mahathir menjadi pemangku menteri pendidikan. Kita semua tahu Dr Mahathir menggunakan semua kuasanya.
“Saya percaya dialognya dengan masyarakat Cina juga akan terhad. Dr Mahathir tidak begitu bersedia untuk mendengar pandangan orang lain,” katanya kepada media Cina dalam temu bual baru-baru ini.
Walaupun PH berjanji untuk mengiktiraf sijil peperiksaan UEC dari sekolah menengah Cina swasta sebagaimana manifesto pilihan raya, ia masih belum berbuat demikian walaupun sudah 20 bulan memerintah.
Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk memberi nasihat kepada kementerian berhubung pengiktirafan UEC tetapi meletak jawatan awal bulan ini sebelum laporan itu dapat disampaikan kepadanya.
Pasukan petugas kini merancang untuk mengemukakan laporan akhirnya kepada Dr Mahathir.
Wee juga mengecam DAP kerana gagal melindungi kepentingan pendidikan Cina.
Beliau berkata, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching daripada DAP, tidak dapat melakukan semak dan imbang di kementerian dan hanya mematuhi keputusan bekas bosnya, Maszlee.
Beliau menambah Teo tidak akan berani bersuara terhadap Dr Mahathir yang kini memegang portfolio pendidikan.
“Sekarang Dr Mahathir adalah pemangku menteri pendidikan, bagaimana mungkin DAP atau Teo Nie Ching bersuara?
“DAP tidak boleh mewakili kaum Cina, tetapi ia disokong oleh orang Cina sebelum menjadi parti pemerintah,” kata ahli Parlimen Ayer Itam itu.
“Jelas sekarang, terdapat ruang yang kecil untuk rundingan dan pengiktirafan UEC. Saya tidak optimis,” katanya.
Mengimbas semula katanya, Dr Mahathir sebelum ini enggan mengiktiraf UEC walaupun pernah berunding dengan Dong Zong semasa menjadi menteri pendidikan pada 1975.
Beliau berkata, malah perdana menteri menghentam kumpulan pendidikan Cina kerana bersikap perkauman.
Beliau berkata komitmen kerajaan terhadap pengiktirafan UEC hanyalah pura-pura, terutamanya dengan syarat yang dikenakan, seperti menjadikan sejarah sebagai subjek wajib lulus.
Wee percaya terdapat juga perubahan kepada rancangan kerajaan untuk memindahkan enam sekolah vernakular dan merancang membina 10 sekolah rendah baharu.
Maszlee sebelum ini berkata pembinaan dua sekolah yang sedang berjalan akan diteruskan manakala lapan lagi akan dikaji semula berdasarkan kemampuan kerajaan. – 28 Januari, 2020.
Komen