KERAJAAN negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bantuan banjir bagi memastikan keberkesanan koordinasi antara agensi persekutuan dan negeri, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Katanya kajian semula itu akan membantu bagaimana negeri mendapatkan bantuan segera daripada angkatan tentera ketika berlaku bencana.
“Kita juga mahu memastikan koordinasi yang lebih baik dan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi. Sekiranya kita dapat amaran awal mengenai ribut, kita boleh mendapatkan bantuan dengan kadar segera.
“Dalam kes ini, tiada siapa yang menjangkakan kejadian ribut. Kami tidak percaya.
“Jika kita boleh dapatkan bantuan tentera dengan segera, kita boleh memberi bantuan dengan lebih pantas, berbanding (menunggu) ketua menteri hubungi menteri dalam negeri untuk bantuan,” katanya kepada pemberita pada sidang media berhubung situasi banjir di Pulau Pinang.
Lim turut mengulangi bagaimana beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri, pada awal pagi ini untuk meminta bantuan.
Pulau Pinang kata Lim, tidak mempunyai sumber, peralatan atau tenaga kerja untuk membantu ribuan rakyat yang terjejas akibat banjir.
“Dalam keadaan terdesak, saya terpaksa hubungi Zahid sebanyak tiga kali. Beliau sedang tidur. Akhirnya beliau menjawab panggilan kali ketiga pada jam 3.30 pagi.
“Beliau bersetuju untuk menghantar bantuan segera. Awal pagi ini, beliau hubungi saya untuk memberi jaminan bantuan akan terus dihantar bagi membantu usaha bantuan banjir di Pulau Pinang,” katanya.
Angkatan tentera mengerahkan 170 anggota dari Pulau Pinang, Sungai Petani dan Alor Setar, untuk membantu usaha menyelamat mangsa banjir di daerah Timur Laut, utara tanah besar dan daerah Seberang Perai Tengah.
Lim berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang bersyukur kerana politik diletakkan ke tepi dalam usaha memberikan bantuan kepada rakyat di saat memerlukan.
Ditanya sama ada wujud keperluan untuk membentangkan usul darurat pada sidang dewan undangan negeri, beliau berkata kerajaan akan membincangkan keperluan itu dengan kerajaan persekutuan terebih dahulu.
Buat masa ini katanya, keutamaan diberikan untuk menyelamatkan mangsa banjir.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri masih tidak dapat menentukan jumlah kerugian dan kerosakan disebabkan bencana itu.
Sementara itu, pihak berkuasa negeri dan tempatan kini sedang berusaha untuk memastikan sekolah yang terlibat dengan operasi bantuan banjir akan bersedia untuk peperiksaan SPM yang bermula esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus berkata, hanya empat buah sekolah di daerah Darat Daya, dan satu di Seberang Perai Selatan, digunakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir.
Dengan paras air yang semakin surut, beliau berkata pihak majlis akan membantu membersihkan sekolah untuk digunakan ketika peperiksaan berkenaan. – 5 November, 2017.

Komen