PEMILIHAN jawatan dalam PAS tahun ini bukan satu acara, ia hanya majlis untuk mengesahkan kedudukan Abdul Hadi Awang dan tulang belakang pemimpin konservatif dalam parti Islam itu tidak terganggu gugat.
Pemilihan kali ini juga akan mengakhiri saki baki penyokong “Erdogans” atau “progresif” yang cuba mengambil alih kuasa dalam parti pada 2015.
Sementara Mohamed Sabu dan sekumpulan Erdogan yang tewas mengambil keputusan meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah, Mahfuz Omar, Syed Azman Ahmad Nawawi, Dr Zaki Ibrahim dan Rozi Mohd terus kekal dan cuba mencabar Hadi dari dalam.
Mereka gagal.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, dan juga bekas ketua Pemuda PAS dan bekas naib presiden, gagal mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan di peringkat kebangsaan.
Beliau dan tiga lagi ahli progresif boleh menjangkakan yang mereka akan terpinggir sepenuhnya selepas muktamar pada hujung minggu ini.
Pada tahun-tahun sebelum ini, pemilihan PAS dibuat untuk mengisi jawatan dalam jawatankuasa pusat, Dewan Ulama, sayap Wanita dan Pemuda yang kedua-duanya sengit dipertandingkan.
Kali ini, ia tidak begitu.
PAS kini parti Hadi dan pesanan yang bertebaran di setiap bahagian ialah mengekalkan status quo dan tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan kestabilan di dalam parti menjelang PRU14.
Buat pertama kalinya sejak parti ditubuhkan pada 1951, tidak akan ada pemilihan dalam Dewan Ulama untuk memilih jawatankuasa kerjanya.
Ketua Dewan Ulama Dr Mahfodz Mohamad, timbalannya Dr Nik Zawawi Mohd Salleh dan naib ketua Dr Johari Mat menang tanpa bertanding. Malah, 12 ahli jawatankuasa kerja dewan itu turut kembali bertugas tanpa bantahan.
Menang tanpa bertanding
Keadaan sama berlaku dalam jawatankuasa pusat, sayap wanita dan pemuda. Calon bagi jawatan tertingginya tidak dicabar.
Ketua bagi semua sayap – Hadi, Ketua Wanita Nuridah Salleh dan Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi – menang tanpa bertanding.
Tidak ada juga pertandingan bagi jawatan timbalan ketua Pemuda dan Wanita serta naib presiden.
Bagaimanapun, ada empat calon bakal bersaing untuk tiga jawatan naib presiden dalam jawatankuasa pusat.
Penyandang Idris Ahmad, Nik Mohamad Amar Nik Abdullah dan Iskandar Samad akan dicabar Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan.
“Apa yang berlaku sekarang menunjukkan PAS sudah stabil selepas pemilihan lalu pada 2015 yang menyebabkan PAS terpecah dia,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS Mustafa Ali.
Mustafa berkata peraturan baharu mensyaratkan calon memperoleh 10 pencalonan berbanding sebelum ini hanya dua, mungkin bagi mengurangkan jumlah calon.
Katanya, apa yang paling penting ialah individu yang dicalonkan benar-benar dapat mewakili hala tuju parti.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar berkata kepada The Malaysian Insight pemilihan parti tahun ini mencerminkan realiti di akar umbi.
Selepas tewasnya golongan progresif pada 2015 dan susulan keputusan Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan yang lain meninggalkan parti, lebih separuh daripada 200 perwakilan yang mengundi progresif juga keluar PAS.
“Baki pengikut dibersihkan keluar dari parti sementara ahli yang masih berbaki tidak besar jumlahnya,” katanya.
Pemilihan jawatan parti pada hujung minggu ini akan hanya mengesahkan yang Hadi dan orangnya benar-benar berkuasa dalam PAS.
Bagi penyokong progresif yang masih ada, mereka hanya ada dua pilihan: terima hakikat dalam PAS atau keluar parti.
“Nampaknya mereka akan kekal, kerana Amanah tidak cukup kuat untuk buat mereka lompat kapal,” kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insight. – 27 April, 2017.
Komen