12 lagi pengimbas haba akan ditambah, kata menteri 


Ravin Palanisamy

Setakat ini Malaysia mempunyai 54 pengimbas haba yang diletakkan di setiap pintu masuk negara.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Januari, 2020.

SEBANYAK 12 lagi pengimbas haba akan ditambah di pintu masuk negara bagi meningkatkan pemantauan penularan wabak 2019 novel koronavirus (2019-nCov), kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun katanya, tambahan 12 pengimbas kepada 54 yang sedia ada tertakluk pada kelulusan Kementerian Kewangan.

“Sekarang kita sudah ada 54 tapi ini kita mahu tambah lagi 12 unit pengimbas haba itu.

“Ini yang kita mohon untuk diletakkan di pintu masuk negara termasuk pintu masuk di Johor Bahru,” katanya pada sidang media di KLIA2 hari ini.

Menteri kesihatan berkata beliau tidak menjangkakan sebarang masalah memandangkan perdana menteri dan menteri kewangan memberikan komitmen mereka untuk mempertingkatkan peralatan dan keselamatan.

“Jika menteri kewangan berikan peruntukan dengan segera lebih baik.

“Bagaimanapun, ia mengambil sedikit masa tapi tidak terlalu panjang. Mereka (perdana menteri dan menteri kewangan) telah memberikan komitmen, saya rasa kita tidak boleh tangguh lagi,” katanya.– 27 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen