CALON peperiksaan SPM yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang akan mendapat bantuan untuk menduduki peperiksan itu esok, kata Timbalan Menteri Pendidikan II Chong Sin Woon.
“Esok adalah permulaan kepada peperiksaan SPM, dan Kementerian Pendidikan sudah digerakkan untuk bersedia di kawasan yang terjejas di Pulau Pinang.
“Kita akan mengenal pasti sekolah terlibat yang tidak boleh menempatkan pelajar untuk menduduki peperiksaan dan memaklumkan calon dengan kadar segera, bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan di pusat lain,” katanya yang juga ketua Pemuda MCA pada perhimpunan agung ke 64 parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Shaari Osman memberitahu akhbar Berita Harian sebelum ini, setakat ini hanya sebuah sekolah menengah di Teluk Kumbar digunakan sebagai pusat pemindahan banjir.
“Kami telah meminta semua pihak untuk menggunakan sekolah rendah untuk tujuan bantuan banjir,” beliau dipetik sebagai berkata.
“Juga, kami akan memastikan calon SPM yang terjejas akan dibantu untuk ke pusat peperiksaan.”
Katanya, calon dari sekolah yang terjejas seperti SMK Agama Al-Mashoor (Lelaki) dan SMK Seri Mutiara, akan menduduki peperiksaan di tingkat atas sekolah berkenaan.
Jawatankuasa Keselamatan SPM, termasuk pelbagai agensi lain juga ditubuhkan, tambahnya.
Pulau Pinang meminta bantuan tentera, berikutan peningkatan paras air banjir selepas hujan lebat hampir 24 jam melanda negeri itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam posting di Facebooknya berkata, beliau belum pernah melihat bencana seperti itu di Pulau Pinang, dengan 80% kawasan di negeri itu dilanda angin kencang dan hujan lebat.
Antara kawasan yang terjejas di George Town adalah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson dan Halaman Bukit Gambir.
Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Ferringhi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Perai turut terjejas.
Lim yang turut berada di beberapa kawasan terjejas sejak awal pagi ini berkata, hampir 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Seberang Perai Tengah merupakan kawasan ang paling teruk terjejas dengan 1,125 penduduk dipindahkan, diikuti dengan Seberang Perai Utara (615) dan daerah barat daya Pulau Pinang (158) dan utara (70). – 5 November, 2017.
Komen