Timbalan menteri pelancongan akui wabak koronavirus jejas TMM 2020


Ragananthini Vethasalam

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata kementerian telah menerima maklum balas mengenai pembatalan pelanggan selepas penularan koronavirus. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Januari, 2020.

KEMPEN Tahun Melawat Malaysia 2020 menyaksikan permulaan yang tidak memberansangkan berikutan wabak koronavirus sehingga menyebabkan industri pelancongan terjejeas apabila tempahan penginapan hotel dan penerbangan dibatalkan, kata Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata kementerian telah menerima maklum balas mengenai pembatalan pelanggan selepas penularan koronavirus.

“Semalam, satu hotel berkata, 90 bilik dibatalkan,” kata Muhammad Bakhtiar.

“Keadaan ini akan dipantau.”

Pada 23 Januari, AirAsia dan Malindo Air mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan penerbangan yang membabitkan destinasi bandar Wuhan, China, tempat permulaan wabak koronavirus ditemui.

Muhammad Bakhtiar berkata mesyuarat akan diadakan bersama persatuan-persatuan pelancongan untuk membincangkan situasi tersebut.

Beliau mengakui Tahun Melawat Malaysia 2020 mungkin akan terjejas dengan wabak itu.

“Kami akan lihat bagaimana (TMM 2020 terjejas disebabkan wabak itu),” katanya ketika ditanya sama ada sasaran ketibaan pelancong akan disemak semula.

“Kita menerima 3.2 juta pelancong China tahun lepas. Mereka adalah salah satu pelancong utama kita,“katanya.

Malaysia mempunyai empat kes yang mengesahkan jangkitan virus itu, semua kes adalah warga negara China yang melancong ke dalam negara ini. – 26 Januari, 2020. 
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen