Penerbangan libat destinasi China tetap diteruskan di KLIA


Ravin Palanisamy

TIADA perubahan mendadak dalam pergerakan penerbangan dari China ke Malaysia walaupun ketika ini pihak berkuasa China bergelut untuk menangani wabak Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Sebanyak 74 penerbangan tiba dan berlepas dari KLIA dan KLIA2 ke pelbagai destinasi di China.

Daripada jumlah tersebut, 35 penerbangan tiba dan berlepas dari KLIA, manakala 39 lagi dari KLIA2.

Wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan angka itu kepada The Malaysian Insight melalui mesej Whatsapp.

Bagaimanapun, wakil MAHB itu enggan mengulas jika terdapat sebarang pembatalan ke laluan China - Kuala Lumpur oleh mana-mana syarikat penerbangan.

Pada 23 Januari, 2020, Malindo Air dan AirAsia mengesahkan penggantungan penerbangan mereka dari bandar Wuhan memandangkan bandar ia kini dikuarantin selepas penularan wabak Novel Koronavirus.

Kapal terbang dan keretapi telah dihalang daripada meninggalkan atau memasuki bandar itu, tempat permulaan wabak baharu yang menyebabkan 17 orang meninggal dunia dan ratusan lagi kini dikuarantin.

Hari ini, Malindo Air mengesahkan bahawa tujuh anggota krewnya telah dikuarantin di Zhengzhou, China, sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketujuh-tujuh mereka bertugas dalam penerbangan Zhengzhou-Kuala Lumpur pada 24 Januari, di mana seorang penumpang dari wilayah Hubei turut berada dalam pengerbangan tersebut, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Penumpang itu disyaki dijangkiti koronavirus yang berasal dari ibukota Hubei, Wuhan.

Koronavirus, yang berasal dari Wuhan, telah membunuh 56 orang dan menyebabkan hampir 2,000 jatuh sakit.

Malaysia juga turut mengesahkan empat kes jangkitan virus itu sama seperti Singapura.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata penyebaran novel koronavirus itu belum mencapat peringkat kritikal sehingga pelancong disekat daripada memasuki negara ini. – 26 Januari, 2020. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen