Tidak perlu bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan sekarang, kata Wan Azizah


Ragananthini Vethasalam

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tiada ada keperluan untuk membawa keluar 49 rakyat Malaysia di Wuhan buat masa ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2020.

TIDAK ada keperluan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kami membincangkan perkara ini tetapi pada masa ini tidak perlu bawa mereka pulang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan insiden wabak koronavirus hari ini.

49 rakyat Malaysia di sana adalah pelajar dan pekerja profesional.

Mesyuarat yang diadakan di Putrajaya hari ini dihadiri Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Selain itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud juga turut sama hadir dalam mesyuarat tersebut.

Saifuddin berkata keadaan belum mencapai tahap kritikal dan Wisma Putra sentiasa berhubung dengan 49 rakyat Malaysia di bandar itu yang kini dikuarantin melalui kedutaan Malaysia di Beijing dan Konsulat Umum di Xi’Ann.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berasa tidak sihat sebaik pulang dari luar negara untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan. 

Setakat ini, empat kes koronavirus disahkan di Malaysia melibatkan warga China yang memasuki negara ini. 

Pada 23 Januari lalu, syarikat penerbangan Malindo Air dan AirAsia menghentikan penerbangan ke Wuhan.– 26 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen