SITUASI wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia terkawal dan rakyat perlu bertenang, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Keadaan adalah terkawal dan kita tidak perlu panik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan langkah seterusnya untuk membendung penularan wabak berkenaan di negara ini.
“KKM menjalinkan kerjasama rapat dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan kementerian kesihatan negara-negara jiran berhubung dengan kluster penyakit ini,” tambahnya.
Beliau berkata, Malaysia sebelum ini mampu menangani wabak seperti SARS, virus Nipah dan Ebola.
Koronavirus yang berasal dari Wuhan di wilayah Hubei telah meragut 56 nyawa serta menjangkiti hampir 2,000 penduduk di China.
Empat warga China yang berada di negara ini turut disahkan positif dan kini dikuarantin di hospital di Malaysia.
Dr Wan Azizah juga berkata lebih banyak pengimbas haba akan ditempatkan di sempadan Johor-Singapura.
Sementara itu, rakyat Malaysia turut digesa agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar mengenai wabak itu di media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, rakyat perlu menyemak dahulu kesahihan maklumat sebelum dikongsikan.
“Kita lihat dalam beberapa hari yang lalu banyak maklumat dan paparan dikongsikan yang kita dapati ianya tidak benar dan palsu.
“Keadaan ini menimbulkan banyak masalah,” katanya pada sidang media yang sama.
Beliau turut menggesa masyarakat agar merujuk perkembangan terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.– 26 Januari, 2020.
Komen