Mesyuarat peringkat tertinggi bincang isu koronavirus di Putrajaya


Ragananthini Vethasalam

MAHB menempatkan pengimbas haba di pintu ketibaan sebelum bagi mengekang koronavirus menular. – Gambar AFP, 26 Januari, 2020.

PIHAK berkuasa sedang bermesyuarat bagi membincangkan langkah seterusnya untuk mengekang wabak koronavirus dari China yang menyebabkan empat kes di sini, dan ribuan yang lain di seluruh dunia.

Seramai 56 orang telah meninggal dunia di China setakat ini ketika Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi di Putrajaya untuk membincangkan isu koronavirus.

Wan Azizah adalah presiden Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma).

Pertemuan itu juga dihadiri Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; dan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Turut hadir Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Koronavirus telah membunuh 56 orang dan menyebabkan hampir 2,000 orang sakit.

Malaysia mempunyai empat kes jangkitan yang disahkan, seperti Singapura.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata penyebaran koronavirus tidak sampai ke tahap menghalang masuk pelancong ke negara negara ini.

“Kita tidak dapat meramalkan pada saat ini (betapa serius keadaannya). Banyak negara juga menghadapi masalah yang sama. Kita  juga akan menilai apabila ia sampai ke peringkat kritikal.”

Perdana menteri bagaimanapun menambah kerajaan sudah mengambil langkah membendung penyebaran virus itu.

“Ini adalah isu yang serius kerana kita tidak mengetahui mengenai penyakit ini. Kita juga tidak pasti mengenai rawatannya.

“Pada masa ini, ia adalah pencegahan, bukan rawatan, dan ia terdiri daripada pemakaian topeng dan menjauhkan diri daripada orang yang disyaki dijangkiti,” katanya.

Sidang akhbar dijangka diadakan hari ini selepas mesyuarat. – 26 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen