Kenaikan harga minyak sawit pulihkan pendapatan pekebun kecil


Sheridan Mahavera

Terdapat kira-kira 650,000 pekebun kecil persendirian yang menghasilkan 40% hasil kelapa sawit di Malaysia dan mereka kini mampu menarik nafas lega dengan kenaikan harga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Januari, 2020.

TAHUN lepas, sukar bagi Sahman Duriat untuk mendapatkan hatta RM1,000 sebulan daripada 30 ekar kebun kelapa sawitnya di Kuala Selangor.

Bagaimanapun, bermula Disember 2019 hingga Januari tahun ini, pendapatan tanaman lelaki berusia 52 tahun ini, meningkat dua kali ganda sejajar dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) dunia.

Tetapi terdapat kebimbangan yang kenaikan harga minyak sawit ini mungkin dipengaruhi oleh keputusan India untuk menyekat import olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dari Malaysia dan Indonesia.

CPO berharga pada paras RM2,991.50 setan pada 23 Januari. Ia diperbuat daripada tandan buah segar hancur (FFB) yang ditanam oleh pekebun kecil.

Harga CPO menjunam dari purata RM3,300 pada Februari 2017 kepada antara RM1,800 hingga RM2,100 sepanjang 2019.

Dalam tempoh yang sama, harga FFB turun daripada kira-kira RM800 setan untuk pelbagai gred A kepada kira-kira RM400 satu tan.

Kejatuhan harga sejak awal Februari 2017 hingga September 2019 disebabkan lebihan bekalan minyak kelapa sawit di seluruh dunia dari dua negara pengeluar utama, Indonesia dan Malaysia.

Harga bagi FFB dan CPO meningkat sejak November 2019 dan kini pada harga RM2,900 dan RM610 setan.

Sahman adalah seorang daripada kira-kira 650,000 pekebun kecil yang menghasilkan kira-kira 40% daripada tanaman sawit di Malaysia.

Pendapatan pekebun kecil ini turut membantu ekonomi luar bandar di kebanyakan negeri terutama Johor, Sabah, Perak, Selangor dan Pahang yang menjadikan kelapa sawit sebagai tanaman utama.

Rahman Sarip berkata kenaikan harga minyak sawit membolehkan beliau kembali turun ke ladang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Januari, 2020.

“Beberapa kedai teh di sekitar sini ditutup kerana pekebun tidak lagi datang bila pendapatan kami merudum,” kata Sahman kepada The Malaysian Insight di Ijok, sebuah bandar di luar Lembah Klang yang berasakan industri perladangan.

Harga minyak sawit juga dipengaruhi oleh pilihan raya seperti di Cameron Highlands dan kerusi Parlimen Tanjung Piai ketika pembangkang Barisan Nasional mengaitkan harga sawit dunia dengan prestasi pemerintah Pakatan Harapan.

Seorang lagi pekebun kecil dari Ijok, Rahman Sarip, berkata kenaikan harga sangat membantu dan membolehkan beliau kembali beroperasi. 

“Kini kami ada duit untuk membeli racun rumpai yang mencukupi, baja dan mengupah pekerja lagi,” kata Rahman, yang memiliki 30 ekar ladang di sekitar Kuala Selangor.

“Apabila harga rendah, saya bergelut untuk membiayai ini dan akibatnya hasil terjejas kerana tidak dapat menjaga pokok saya,” kata lelaki berusia 70 tahun itu.

Bulan lepas, Rahman memperoleh pendapatan bersih lebih RM2,000 daripada kira-kira 24 tan hasil. – 27 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen