MINYAK sawit terhasil akibat penebangan hutan, pembunuhan haiwan liar terancam dan buruh paksa diharamkan di banyak negara selain di Eropah.
Susulan itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) giat mempromosikan sijil Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) kepada seluruh industri, dari pekebun kecil hinggalah kepada pengilang dan syarikat perladangan.
MSPO adalah satu piawaian yang mengesahkan bahawa produk sawit yang dihasilkan adalah melalui kaedah yang mampan iaitu tidak mencemarkan alam sekitar.
Secara teorinya, minyak sawit yang memperoleh sijil MSPO akan diterima pasaran dan pengguna yang mengutamakan makanan yang dihasilkan melalui cara yang selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar.
Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk membantu pekebun kecil yang menanam 40% daripada tanaman Malaysia, untuk memenuhi syarat pensijilan.
Bagi pekebun kecil yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 ekar ladang sawit, kerajaan akan menanggung kos proses mendapatkan sijil MSPO.
Bagaimanapun, Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata hanya 11% daripada 650,000 pekebun kecil yang mempunyai MSPO sejak promosi mengenai sijil itu dijalankan sejak hujung 2018.
“Banyak yang kerajaan usahakan untuk mempromoiskan subsidi itu tetapi masih ramai pekebun kecil yang tidak tahu mengenainya.
“Kita sering beri galakan kepada ahli supaya dapatkan sijil kerana kosnya ditanggung kerajaan,” kata Lehan Sayahan dari Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH).

Proses mendapatkan sijil MSPO menelan kos kira-kira RM40,000, tambahnya.
“Tetapi ada juga segelintir yang tak mahu ambil tahu,” kata Lehan yang mengetuai NASH Selangor kepada The Malaysian Insight.
Syarat dan cabaran
Rahman Sarip, pekebun kecil bebas di Ijok, Selangor berkata ramai pekebun kecil mendapati syarat MSPO sukar dipenuhi disebabkan rantaian bekalan mereka.
Misalnya, pemilik kebun menyerahkan pihak lain seperti Rahman melakukan kerja-kerja berat untuk menguruskan pokok serta memetik dan menjual sawit mereka.
Rahman, 70, pesara guru, menguruskan kebunnya sendiri yang seluas 30 ekar dan 60 ekar kebun milik pekebun-pekebun lain.
“Untuk mendapatkan sijil MSPO, pemilik asal mesti lakukan sendiri kerja-kerja di kebun. Masalahnya, mereka ini duduk di bandar, susah nak cari.” – 7 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen