KEMENTERIAN Kesihatan menunggu keputusan ujian seorang warga Malaysia yang merupakan antara 11 individu disyaki dijangkiti koronavirus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.
Menurut Noor Hisham, 11 kes yang disyaki itu diterima oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) yang mana kesemua 11 individu berkenaan dipercayai ke China baru-baru ini.
Bagaimanapun 10 daripada 11 ujian yang dijalankan didapati negatif.
“Ujian makmal terhadap seorang rakyat Malaysia dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, lapan daripada mereka adalah rakyat Malaysia manakala dua dari China dan seorang dari Jordan.
Kementerian turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke China.
Katanya, bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang larangan ke China.
Noor Hisham berkata, kementeriannya akan memberikan perkembangan berhubung kes itu dari masa ke semasa.
Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga kes koronavirus di Malaysia.– 25 Januari, 2020.
Komen