Tak perlu idea pelik, tetapi bikinlah filem yang baik!


Daniyal Kadir

PORTAL berita South China Morning Post (SCMP) pada 13 Januari lalu menerbitkan satu artikel yang membincangkan mengenai perkembangan menarik yang berlaku dalam dunia perfileman Malaysia dan Singapura.

Dalam artikel berkenaan, Pengerusi Finas Hans Isaac memberikan pandangan yang antara lain menyebut bahawa kualiti penerbitan filem tempatan telah menunjukkan peningkatan.

Namun begitu, apa yang menarik perhatian ialah apabila beliau menyatakan Finas sedang merancang untuk melancarkan satu skim penerbitan filem pada tahun ini bagi membantu pembikin filem tempatan membikin filem dalam dua versi bahasa, dengan harapan ia akan meluaskan pasaran dan penontonan filem berkenaan.

Hans dipetik SCMP berkata: “Mereka pertamanya akan membikin filem dalam bahasa Melayu dan versi kedua dalam bahasa Mandarin. Namun begitu ia bukan semata-mata untuk mensasarkan pasaran di China.

“Jika penerbit mahu membikin versi bahasa Melayu dan bahasa Tamil untuk menguasai pasaran di India, kita akan memberikan sokongan. Ia bukan proses dubbing (alih suara).

“Pembikin filem akan mengambil dua take. Apabila penggambaran untuk babak dalam bahasa Melayu selesai, pelakon Cina pula akan mengambil alih dan terlibat dalam penggambaran babak yang sama.”

Secara asasnya kita memahami bahawa Hans bercakap tentang usaha untuk meluaskan pasaran filem Malaysia. Kenyataan ini timbul selepas melihat bagaimana filem tempatan seperti Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya menembusi pasaran China dan ditayangkan di lebih 10 ribu pawagam di negara berkenaan.

Maka Finas melihat China merupakan destinasi terbaik untuk memasarkan filem tempatan di sana. Tambahan pula apabila filem seperti Guang menerima anugerah di peringkat antarabangsa dan dilihat memiliki potensi pemasaran di negara berkenaan.

Ia merupakan sebuah pandangan ekonomi, melihat usaha memasarkan filem sebagai sebuah produk ekonomi dan perniagaan, tidak ada salahnya memiliki wawasan seperti itu.

Sememangnya kita mahu melihat filem tempatan diterima baik di luar negara dan China dan India merupakan destinasi terbaik memandangkan ikatan budaya yang ada, hubungan perdagangan yang baik dan populasi penonton yang banyak dan menjanjikan pulangan menyeluruh.

Namun mencadangkan untuk membikin sebuah filem dengan dua versi dengan dua set pelakon yang berbeza adalah satu cadangan yang tak terjangkau dek akal dalam norma pembikinan filem.

Secara asasnya apabila kita menggunakan dua bahasa yang berbeza untuk sesebuah filem, ia sudah tentu melihatkan bentuk kebudayaan berlainan. Bahasa di dalam filem penting dalam memaparkan kebudayaan. Jika kita mahu memaparkan kebudayaan Melayu, sudah tentu penggambaran dan dialog harus menggunakan bahasa Melayu.

Begitu juga apabila kebudayaan yang ditampilkan di dalam filem berkenaan adalah tentang kebudayaan Cina atau India, sudah tentu bahasa yang digunakan juga perlu bahasa Cina dan India.

Kita bayangkan filem seperti Jagat menggunakan bahasa Melayu, sedangkan kita tahu ia melibatkan perbincangan tentang kebudayaan dan isu masyarakat India. Penggunaan bahasa Melayu dalam filem berkenaan sudah tentu tidak kena pada pandangan.

Di samping itu, membikin filem dalam dua versi seperti dinyatakan Hans hanya akan melambatkan proses penggambaran dan meningkatkan kos. Perkara ini dipersetujui oleh beberapa pembikin filem dan kru produksi.

Ia bukan sebuah idea yang praktikal untuk diamalkan dalam aspek pembikinan filem.

India baru-baru ini berjaya menembusi pasaran China melalui filem seperti Dangal dan Secret Superstar. Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan kedua-dua filem ini menggunakan kaedah alih bahasa untuk ditayangkan di China.

Kerjasama antarabangsa adalah tunjang terpenting dalam membawa filem ke pasaran luar. Tidak dapat dinafikan, sehingga kini terdapat banyak bentuk kerjasama antara entiti korporat dan syarikat penerbitan dalam menghasilkan filem secara usaha sama atau membawa karya-karya tempatan ke pasaran tertentu.

Namun satu perkara yang sering kita terlepas pandang ialah menjadikan filem sebagai sebahagian daripada kerangka perjanjian perdagangan antarabangsa yang bersifat dua hala atau pelbagai hala.

Melalui diplomasi kebudayaan, manfaat terhadap industri filem dapat dipertingkatkan. Kerjasama di peringkat antara kerajaan memainkan peranan signifikan dalam usaha ini.

Agenda filem dijadikan sebagai agenda kebudayaan antarabangsa dan ia dijadikan sebagai antara alat penting dalam mengukuhkan hubungan sesama negara.

Dalam konteks ini, filem wajar dilayan sebagai komoditi dagangan bernilai tinggi bagi mengukuhkan filem sebagai tujuan ekonomi dan perdagangan. Ia wajar dilihat dalam kerangka seperti itu bagi memastikan liberalisasi pasaran filem dapat memberikan manfaat kepada kita dan negara yang terlibat.

Permulaan terbaik buat kita semua ialah mengukuhkan pasaran filem di peringkat Asean. Kita wajar membentuk sinema Asean sebagai sinema bersama dan filem wajar diangkat sebagai pemangkin kepada sasaran Komuniti Asean.

Malaysia boleh menjadi peneraju kepada hasrat ini dengan mengemukakan cadangan di peringkat Sidang Kemuncak Asean untuk menubuhkan sebuah badan pengurusan industri filem, seperti apa yang wujud dalam bidang ekonomi lain seperti tenaga yang mempunyai Asean Centre of Energy (ACE).

Jika ekosistem perfileman Asean diperbaiki secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek fasiliti perdagangan dan kemajuan saksama sebagai sebuah bidang ekonomi, maka kita bakal memiliki sebuah pasaran yang lebih besar dan mudah dan dapat memastikan filem-filem kita dipasarkan dalam kerangka lebih baik dan dekat.

Asean memiliki kepentingan budaya kepada kita dan sudah tentu ini menjadi titik terpenting dan utama dalam memberikan nafas baru kepada pasaran besar buat filem tempatan.

Jelas usaha ini bukanlah kerja Finas semata-mata. Ia melibatkan hubungan besar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Luar.

Memberi fokus kepada perkara seperti ini adalah sesuatu yang lebih praktikal dan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

Kita tidak perlu bergelumang dengan idea-idea pelik untuk mendapatkan keuntungan di peringkat antarabangsa dan perhatian penonton luar negara. Asas yang paling utama ialah bikin filem yang baik.

Jika sesebuah filem dibikin dengan baik termasuk dari pelbagai sudut, penceritaan, visual, kerja kamera, suntingan, lakonan dan nilai produksi, sudah tentu filem itu akan berdiri dengan sendiri dan gagah membawa nama Malaysia.

Ini seperti apa yang berlaku dalam sinema Korea sekarang. Mereka tidak perlu terkejar-kejar untuk membikin versi filem dalam bahasa berbeza-beza hanya untuk memenuhi tuntutan pasaran, sebaliknya mereka memberi fokus kepada pengukuhan kreativiti pengkarya dan pemikiran penonton.

Hasilnya mereka berbangga pada tahun ini mencipta sejarah melalui filem Parasite. Ia bukan sahaja sebuah filem yang baik, namun mendapat perhatian besar dari seluruh dunia. Memenangani anugerah-anugerah utama seperti di Cannes dan terkini sudah berjaya bertanding dalam kategori utama di Anugerah Akademi.

Malah Parasite sangat tebal dengan kebudayaan dan permasalahan Korea dan ia menjadi tunjang utama dalam memperkenalkan Korea di mata dunia. Pergelutan tempatan yang memiliki nilai universal dan mampu memaut hati masyarakat dunia terhadapnya.

Inilah yang sepatutnya kita tumpukan kerana perniagaan filem akan memberi keuntungan dan membawa kita ke persada dunia hanya dengan satu syarat: bikin filem yang baik! – 25 Januari, 2020.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen