Menteri Sabah mula siasat dakwaan tukar agama pelajar


Desmond Davidson

Sabah berdepan usaha menukar agama dibuat kumpulan tertentu sejak sekian lama, fenomena yang tidak disenangi penduduknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2020.

MALAYSIA mesti menamatkan percubaan halus segelintir kumpulan Islam untuk menukar agama pelajar institusi pendidikan negara, kata seorang pembantu menteri Sabah yang mahu bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu tersebut.

Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau sedang menyiasat satu lagi dakwaan, kali ini oleh seorang ibu Iban di Sibu, Sarawak, yang mendakwa anak perempuannya ditawarkan wang untuk menukar agama kepada Islam.

Wanita Iban itu mendakwa anak perempuannya, yang sedang belajar di Universiti Pendidkan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, ditawarkan bantuan kewangan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) walaupun ia sebenarnya adalah program “Dana Inspirasi Malaysia” (Inspirasiku), untuk menukar agama pelajar.

Bagaimanapun, Yapeim menafikan tuduhan itu menerusi kenyataan pada laman Facebooknya pada hari Rabu, dengann mengatakan bahawa program Inspirasiku itu adalah untuk membantu pelajar dari keluarga B40 di seluruh negara, dan bukan bertujuan untuk menukar agama pelajar kepada Islam.

Menggesa aktiviti penukaran agama itu dihentikan, Lasimbang berkata sekolah dan universiti bukan tempat untuk menyebarkan agama.

“Ia harus dihentikan. Adalah baik untuk mempunyai kelas agama, program untuk membina watak pelajar Islam tetapi tidak boleh melampau dengan menggunakan kelas-kelas ini untuk melindungi percubaan mereka menukar agama (pelajar),” kata Adun Moyog itu kepada The Malaysian Insight.

Lasimbang berkata beliau telah membuat beberapa langkah dalam siasatannya tetapi masih belum bertemu dengan ibu tersebut dan bercakap dengannya. Beliau turut dibantu oleh kawan-kawan di pusat bandar Sarawak.

Dalam catatan Facebook semalam, Lasimbang menulis: “Saya menyiasat dakwaan di bawah ini. Salah satu mesej saya yang saya terima pagi tadi.

“Seorang Iban yang menjadi ahli di Gereja Sacred Heart (di Sibu) memberitahu saya. Anak perempuannya belajar di UPSI Tg Malim dan dia menerima tawaran daripada Yapeim.

“Satu-satunya syarat untuk menerima RM1K adalah untuk menukar agama kepada Islam. Anak perempuannya memberitahu ibunya tentang hal itu. Anak perempuannya yang lain di St E (St Elizabeth, Sibu) juga menerima tawaran yang sama, tetapi untuk wang RM500.” 

Menurut Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Jennifer Lasimbang, usaha menukar agama kepada Islam sudah berlaku di Sabah sejak sekian lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2020.

Lasimbang berkata beliau tertarik dengan dakwaan wanita itu yang mengatakan “perkara ini benar-benar berlaku” di negeri tersebut.

“Ia bukan sesuatu yang baru. Perkara-perkara ini telah berlaku selama beberapa tahun sekarang,” kata Lasimbang.

Lasimbang berharap beliau boleh mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir, yang kini merupakan pemangku menteri pendidikan untuk membincangkan isu itu.

“Ada orang tua yang datang kepada saya untuk menunjukkan kepada saya borang meminta mereka tandatangan sebagai balasan untuk bantuan kewangan.”

Lasimbang berkata, tidak tepat untuk menukar agama orang ramai dengan memancing mereka dengan habuan wang atau menukar agama anak-anak di bawah umur tanpa persetujuan ibu bapa mereka.

Beliau berkata di Sabah, satu lagi taktik yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan Islam adalah dengan menjadikan mereka sebagai pembantu warden rumah asrama Muslim.

Beliau berkata warden-warden itu kemudiannya akan memberikan perhatian kepada pelajar sasaran, seperti membawa mereka menonton filem pada hujung minggu atau melayan mereka untuk makan di luar sehingga mereka menjadi hormat kepada warden.

Beliau berkata warden menyasarkan pelajar yang cenderung kepada mereka.

“Apabila anda jauh dari rumah, sendirian dan kesepian, anda menjadi mudah terdorong.”

Lasimbang berkata beliau telah menyaksikan dan berpengalaman sendiri dengan percubaan penukaran agama beliau ketika belajar di Universiti Utara Malaysia di Kedah. 

Kepelbagaian agama dan hidup berbudaya di Sabah perlu dihormati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2020.

Adun Bukit Assek Irene Chang daripada DAP berkata beliau masih belum berhubung dengan wanita Iban terbabit.

Mengulas penafian Yapeim bahawa bantuan kewangan mereka, Dana Inspirasi Malaysia, adalah program tukar agama, Chang berkata kejadian tukar agama berlaku disebabkan beberapa pegawai Yapeim yang bersifat melampau.

“Saya percaya boleh ada kemungkinan yang walaupun pendirian rasmi mungkin seperti kenyataan tersebut, ada kemungkinan terdapat pegawai yang bertindak sendiri ketika menjalankan tugas mereka.

“Terpulang kepada Yapeim untuk memeriksaan dakwaan itu tidak benar. Dan ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, bagaimanapun, diejek rakan-rakan maya Facebooknya selepas membuat coretan menafikan dakwaan itu selepas bertanya kepada Jabatan Perdana Menteri, Yapeim dan wakil rakyat lain Pakatan Harapan.

Beliau turut memuat naik penafian Yapeim dan merayu pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan “berita palsu itu”, malah turut meminta polis bertindak tegas ke atas mereka yang menghebahkannya.

Mongin, bagaimanapun, mengakui kepada The Malaysian Insight yang beliau tidak bertanya kesahihan berita itu kepada wanita Sibu yang membuat dakwaan tersebut.

“Saya tak hubungi orang yang buat dakwaan itu tetapi jika ada kes seperti itu, saya meminta mereka tampil membuat laporan polis.”

Beliau turut meminta wanita Iban itu menghubunginya jika memerlukan sebarang bantuan.

Mongin berjanji “akan berbuat apa sahaja untuk melindungi kepercayaan mereka”, menambah yang beliau tidak menyokong amalan tukar agama bersembunyi di sebalik program agensi kerajaan. – 25 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen