PENGERUSI Barisan Nasional, Najib Razak melontarkan cabaran terhadap MCA, antara rakan parti politik tertua gabungan parti pemerintah itu supaya menang sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen untuk menjustifikasikan jumlah anggota Kabinet yang diberikan kepada parti itu.
Bercakap di Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-64, Najib mengingatkan parti orang Cina itu yang mereka hanya mempunyai tujuh orang ahli Parlimen kini.
“Jika kita mempunyai 15 kerusi Parlimen, kita akan menjadi lebih kuat dalam kerajaan,” kata perdana menteri pagi ini.
“Kita tanya kepada suara masyarakat Cina, apa yang mereka mahu. Adakah mereka mahukan perwakilan Cina yang kuat dalam kerajaan? Atau anda mahukan perwakilan yang lemah. Itu adalah pilihan anda,” katanya.
Katanya lagi, DAP tidak boleh membentuk kerajaan walaupun mereka menang banyak undi orang Cina seperti mana pada pilihan raya 2013.
Jumlah kerusi Parlimen tertinggi dimenangi MCA adalah pada pilihan raya 2004, apabila ia menang di 31 daripada 40 kerusi yang ditandinginya.
Pada pilihan raya lepas, MCA hanya berjaya menang lima daripada 37 kerusi yang ditandingi.
“Beritahu masyarakat Cina, DAP tak boleh bentuk kerajaan.
“Realitinya dalam pilihan raya lepas mereka tak boleh bentuk kerajaan walaupun menang besar.
“Mereka tak boleh buat lebih baik berbanding pilihan raya lepas. Mereka tak boleh.
“Walaupun mereka buat sebaik macam pilihan raya lepas mereka masih tak bentuk kerajaan,” katanya yang yakin BN akan terus mengekalkan kuasa pada PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos depan.
MCA tewas teruk dalam sejarah parti itu apabila hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang meletakkan calon MCA pada 2013.
Pada 2008, prestasinya sedikit baik- menang 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 32 daripada 90 kerusi DUN.
Sebelum itu, MCA sentiasa berjaya memenangi lebih daripada separuh kerusi Parlimen dan DUN sejak ia mula bertanding dalam pilihan raya pada 1959 kecuali pada pilihan raya 1969 dan 1990 apabila menang hanya satu pertiga daripada kerusi yang diberikan kepada parti mewakili orang Cina itu.
Najib berkata dengan hanya tujuh kerusi Parlimen dimenangi pada 2013, MCA sepatutnya hanya ada seorang menteri dalam Kabinet.
“Saya perlu pertimbangkan beri (jawatan Kabinet) tambahan kepada MCA. Dengan hanya tujuh kerusi Parlimen, anda tak boleh dapat tiga menteri. Anda tak boleh. Anda patutnya tak dapat.
“Tetapi kami beri juga, kami mahu tunjukkan yang kami dengar (tuntutan) masyarakat Cina,” kata Najib kepada perwakilan MCA.
Katanya lagi, masyarakat Cina sepatutnya tidak merungut tentang peruntukan kerajaan yang diberikan kepada orang Melayu atau etnik lain kerana mereka mengundi BN.
“Umno ada perwakilan paling kuat dan menang lebih banyak kerusi (dalam pilihan raya lepas),” katanya.
Menurut Najib lagi, jika pengundi Cina mahukan sesuatu daripada kerajaan mereka perlu undi BN.
“Anda mahu (vernakular Cina) sekolah, anda mahu ini, anda mahu itu, tetapi anda tak beri undi kepada kami.
“Tolong sokong kami. Anda tak boleh dapat semua ikut cara anda,” kata Najib. – 5 November, 2017.
Komen