KUMPULAN hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) memfailkan saman terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura K. Shanmugam atas arahan supaya NGO itu membuat pembetulan terhadap kenyataan berkenaan pelaksaan hukuman mati baru-baru ini.
Dalam saman yang difailkan, LFL memohon perintah mahkamah bahawa arahan Shanmugam itu tidak boleh dikenakan ke atas kumpulan hak asasi di Malaysia di bawah Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) Singapura.
Penasihat LFL N. Surendran berkata POFMA adalah undang-undang Singapura yang menindas.
Saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dan Shanmugam dinamakan defendan tunggal. LFL menerusi LFL Sdn Bhd sebagai plaintif pertama manakala Surendran dan Pengarah Melissa Sasidaran sebagai plaintif kedua dan ketiga.

“Arahan pembetulan yang dikeluarkan kepada kami adalah cubaan Singapura untuk menyekat atau menghalang kebebsan bersuara di Malaysia,” kata Surendran kepada pemberita selepas saman difailkan hari ini.
“Ia satu cubaan untuk mengenakan akta berita palsu mereka ke atas kenyataan yang dikeluarkan oleh rakyat Malaysia di Malaysia.
“Perlu diingat, kerajaan kita telahpun memansuhkan undang-undang berita palsu tetapi mereka mereka cuba mengenakan undang-undang mereka terhadap kita, dan atas sebab itulah saman ini difailkan.”
Kerajaan Singapura mengarahkan LFL membuat pembetulan le atas kenyataan mengenai pelaksaan hukuman mati di republik itu, yang dimuat naik di laman web kumpulan itu.
Dalam kenyataannya itu, LFL mendakwa pegawai penjara Singapura diarahkan menendang belakang leher banduan dengan kuat untuk mematahkannya sekiranya tali gantung putus semasa hukuman dijalankan dan kerajaanSingapura membenarkan “kaedah yang menyalahi undang-undang” itu. – 24 Januari, 2020.
Komen