Henti beri kontrak secara terus dan surat sokongan, gesa kumpulan antirasuah


Ravin Palanisamy

Dr Muhammad Mohan berkata TI tidak menyokong penggunaan surat sokongan yang dikeluarkan ahli politik atau pegawai kerajaan bagi pembida mendapatkan projek. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Januari, 2020.

PUTRAJAYA perlu menghentikan amalan menganugerahkan kontrak menerusi rundingan terus dan surat sokongan kepada pembida bagi memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan.

Katanya amalan itu hanya boleh digunakan dalam kes kecemasan tetapi tidak boleh menjadi amalan kebiasaan.

“Ada beberapa contoh yang membolehkan anda menganugerahkan kontrak kepada satu sumber. Sebagai contoh dalam keadaan darurat seperti banjir atau kebakaran apabila rakyat memerlukan bantuan segera. Tidak masuk akal jika dibuka sebagai tender kerana rakyat akan menderita.

“Ia juga boleh menjadi projek di mana hanya satu sumber (pakar) saja yang ada. Jika tidak, ia tidak dibenarkan,” kata Muhammad pada sidang media selepas mengumumkan ranking CPI di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata TI tidak menyokong penggunaan surat sokongan yang dikeluarkan ahli politik atau pegawai kerajaan bagi pembida mendapatkan projek.

“Kalangan menteri memberikan surat sokongan, TI tidak pernah menyokong amalan itu. Ia perlu dihentikan kerana jika ianya diteruskan, apa yang membezakan anda dengan rejim sebelum ini,” katanya.

Muhammad berkata Malaysia mencapai kedudukan lebih baik dalam ranking CPI selepas kerajaan mengambil tindakan pantas menangani skandal  1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Felda dan Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata tidak mustahil Malaysia akan tersenarai dalam 30 negara terbaik dalam indeks itu dalam tempoh beberapa tahun lagi dengan memastikan setiap lapisan masyarakat memainkan peranan menolak rasuah.

“Kerajaan mengambil peranannya, penjawat awam juga perlu melakukan peranan mereka, begitu juga masyarakat awam. Media juga perlu memainkan peranan untuk lebih berani melaporkan salah laku.” – 23 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen